
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memberi jaminan bekalan haiwan korban termasuk lembu dan kambing dijangka mencukupi bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha pada bulan Jun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, beliau dimaklumkan masalah kekurangan bekalan tidak akan berlaku.
Beliau berkata, pihaknya menerima haiwan ruminan itu daripada negara jiran, Thailand dan melalui proses yang ditetapkan oleh pihak berwajib untuk menyekat penularan penyakit berjangkit.
“Kelantan berjiran dengan Thailand, dan kemasukan lembu dari sana dilakukan secara teratur dengan proses pendaftaran serta suntikan vaksin lengkap.
“Maka, isu kekurangan lembu korban tidak timbul, begitu juga kebimbangan terhadap penyakit kerana lembu-lembu ini melalui kawalan kesihatan yang ketat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu menjelaskan sehingga kini kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai penularan penyakit berkaitan lembu yang mampu menjejaskan kesihatan awam.
Beliau berkata, kejadian penularan wabak hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) di daerah Kuala Terengganu, berada dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi setakat ini.
Bulan lalu katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu berjaya mengesan kes tersebut di daerah berkenaan yang berpunca 25 ekor kerbau mati di Kuala Terengganu.
“Kes yang tular sebelum ini, berlaku di luar Kelantan, di Terengganu. Di negeri ini, kita tiada sebarang rekod penyakit sebegitu merebak di tempat kita lagi, sekarang tiada.
“Daging lembu di Kelantan adalah selamat untuk dimakan. Kita sangat mengutamakan suntikan vaksin menjamin kesihatan haiwan ternakan sebelum disembelih untuk ibadah korban,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 26/5/2025











