
KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun menerajui negara sebagai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini berdepan dilema paling genting dalam karier politiknya; kekal sebagai reformis tulen atau terus hanyut dalam kerakusan kuasa.
“Anwar yang pernah mengibarkan panji reformasi kini semakin dilihat menumpukan kepada pengukuhan kuasa peribadi,” ujar laporan analisis oleh Ariel Tan dari S Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Singapura dan disiarkan Australian Institute of International Affairs (AIIA).
Menurut laporan itu, meskipun Anwar memasuki Putrajaya dengan janji membanteras rasuah dan memperjuangkan tatakelola yang lebih demokratik dan berbilang kaum, realiti berlaku sangat jauh dari harapan.
Reputasi reformasi semakin tercalar
Anwar suatu ketika dahulunya dihormati sebagai ikon perjuangan ‘reformasi’ kini dipersoal kesungguhannya apabila terus bergantung kepada kuasa eksekutif yang luas demi mengekalkan kedudukan.
Kritikan terhadap ketelusan pentadbirannya semakin lantang, termasuklah daripada rakan-rakan dalam PKR sendiri yang beliau mengetuai parti itu dan kini bersama anggota keluarga terdekatnya.
Beliau bukan sahaja membentuk pakatan dengan Umno, iaitu parti yang pernah beliau label sebagai sarang rasuah, malah melanjutkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Meskipun individu itu yang mengepalai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sebelum ini dikritik oleh Anwar sendiri semasa dalam pembangkang.
Kegagalan menangi hati Melayu dan bukan Melayu
Walaupun Anwar dilihat berjaya menstabilkan ekonomi buat sementara waktu dengan pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024, keyakinan pengundi Melayu terhadap pentadbirannya masih suram.
Hanya 27 peratus pengundi Melayu kini menyokong Pakatan Harapan (PH), jauh dari tahap yang diperlukan untuk mempertahankan kedudukan dalam PRU akan datang.
Malah, sokongan bukan Melayu juga semakin pudar, yang antara lain disebabkan keputusan kontroversi Anwar menyokong pemindahan kuil Hindu demi pembinaan masjid.
Kecaman terhadap percaturan dalaman PKR
Isu dalaman PKR juga semakin meruncing apabila pemilihan parti yang sepatutnya mengukuhkan organisasi kini mendedahkan perebutan kuasa penuh rakus dan penuh dengan unsur nepotisme.
Cadangan agar Nurul Izzah, anak Anwar, bertanding sebagai Timbalan Presiden parti menentang Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli yang juga Menteri Kabinet beliau telah mencetuskan kritikan hebat.
Penganalisis menyifatkan langkah ini sebagai satu lagi episod menjadikan PKR ‘harta keluarga’, selepas sebelumnya dipimpin oleh isteri Anwar, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Penyandang jawatan Timbalan Presiden, Rafizi yang dilihat sebagai suara kritis dalam parti, sedang ditekan dan diketepikan atas alasan hubungan tegang dengan Presiden.
Beberapa calon yang pro-Rafizi tewas dalam pemilihan peringkat cabang menambahkan tanda-tanda penyingkiran sistematik terhadap golongan reformis dalam parti itu sendiri.
PH kian hilang hala tuju
Paling membimbangkan, seperti digariskan dalam laporan disiarkan Australian Institute of International Affairs itu, ialah ketiadaan hala tuju jelas kerajaan dalam menangani isu perpaduan kaum dan autonomi negeri.
Anwar kini dilihat lebih banyak ‘berunding’ dengan golongan elit politik demi kesinambungan kuasa, berbanding membentuk dasar konkrit yang boleh memulihkan keyakinan rakyat.
Kesimpulan: Reformasi atau retorik?
PKR dan PH kini berdepan krisis legitimasi dengan soalan semakin menghantui akar umbi dan pemerhati politik ialah adakah PKR ditubuhkan untuk mereformasikan sistem, atau sekadar alat peribadi untuk membawa Anwar ke puncak kuasa?
Jika trajektori ini berterusan, tidak mustahil rakyat akan menghukum kerajaan ini pada PRU akan datang kerana gagal menunaikan janji reformasi yang telah dilaungkan sejak lebih dua dekad lalu. – HARAKAHDAILY 24/5/2025











