Malaysia perlu ‘reset’ politik; jujur, adil dan inklusif

Dato Seri hamzah Zainudin
- Advertisement -

SINGAPURA: Dato’ Seri Hamzah Zainudin menyuarakan keperluan untuk melakukan ‘reset’ politik negara demi mencapai perpaduan sosial dan kestabilan jangka panjang yang mampu menjamin kemakmuran rakyat berbilang kaum.

- Advertisement -

Beliau berkata, masyarakat majmuk di Malaysia merupakan aset paling membanggakan, namun juga merupakan cabaran paling besar sekiranya perpaduan antara kaum tidak dipelihara dengan serius.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu menegaskan, apabila kepelbagaian diambil mudah, kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian itu boleh bertukar menjadi punca pergolakan.

“Saya ingin merenung bahawa ‘reset’ politik besar terakhir berlaku pada tahun 1970, selepas tragedi perkauman malang 13 Mei 1969. Ia diikuti dengan beberapa dekad keamanan dan pertumbuhan.

“Saya percaya keamanan dan pertumbuhan yang kita nikmati ketika itu berlaku kerana rakyat mempercayai kerajaan dan dengan kepercayaan itu, mereka sanggup bertoleransi, berkompromi, dan menghormati antara satu sama lain merentasi garis kaum, agama, dan budaya,” jelasnya.

Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘A Bird’s-Eye View of the Malaysian Political Landscape’ di ISEAS – Yusof Ishak Institute, di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, misi PN adalah untuk menanam kestabilan politik yang membolehkan Malaysia berkembang, bersatu dan makmur sebagai sebuah negara.

Katanya, sudah tiba masa untuk Malaysia melaksanakan satu ‘reset’ politik baharu bagi mencapai perpaduan sosial yang tulen dan berkekalan.

“(Namun), asas kepada ‘reset’ politik itu terletak pada kepimpinan yang bukan sahaja diterima oleh majoriti, tetapi juga dihormati oleh semua,” terangnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa Malaysia memerlukan barisan kepimpinan yang jujur, inklusif dan adil dalam setiap tindakan dan dasar yang dilaksanakan.

“Jujur, seseorang yang terus terang dan berani bercakap benar, berpandukan prinsip keikhlasan. Inklusif, seseorang yang mewakili semua kaum, agama dan wilayah dengan sepenuh hati.

“Adil, pemimpin yang bukan sahaja memastikan keadilan terlaksana, tetapi juga nampak ia dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, inilah jenis kepimpinan diperlukan Malaysia ketika ini kepimpinan yang tegas tetapi adil, serta inklusif dengan berpaksikan prinsip. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -