Madrasah Sultan Zainal Abidin jana kepimpinan ulung

Sultan Mizan Zainal Abidin
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyifatkan Madrasah Sultan Zainal Abidin al-Arabiah sebagai institusi keilmuan unggul yang telah berjaya membentuk kepimpinan berwibawa dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya 100 tahun lalu.

- Advertisement -

Titah baginda, sumbangan madrasah itu dalam melahirkan tokoh ulama, pemimpin negeri, ahli akademik, teknokrat dan tokoh pentadbiran merupakan bukti nyata kekuatan pendidikan berteraskan agama yang berpaksikan jati diri Islam dan warisan Melayu.

“Rantaian ilmu Madrasah Sultan Zainal Abidin al-Arabiah yang berinspirasikan keperibadian alim lagi halim, nenda beta Sultan Zainal Abidin III yang berjasa.  

“Baginda bukan sekadar seorang raja, tetapi seorang negarawan sejati yang berjiwa ulama dan berwawasan jauh. Baginda amat mencintai ilmu agama, menghormati ulama, serta sentiasa memastikan keadilan dan kebajikan rakyat terpelihara.

“Dengan kebijaksanaan dalam pentadbiran dan ekonomi, baginda mengukuhkan kestabilan. Kedaulatan Negeri Terengganu sebagai kerajaan Islamiyyah Malayuwiyyah diwacana rapi dalam undang-undang tubuh negeri ‘Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk’ agar menjadi sebuah negeri Islam yang dihormati.” 

“Tidak hairanlah jika hampir sedekad Madrasah ini, telah melahirkan sejumlah Menteri Besar Terengganu, menteri di peringkat pusat, mufti, ulama, pensyarah, hakim syarie, tokoh akademik, ahli politik, teknokrat, para pendidik, penjawat awam, serta pakar dalam pelbagai bidang,” titahnya.

Baginda bertitah dalam Majlis Pelancaran Buku 100 Tahun ABIDIN Permata Darul Iman Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, di sini semalam.

Turut hadir, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengiktiraf kejayaan Madrasah Sultan Zainal Abidin sebagai pusat lahirnya pemimpin dan ilmuwan, baginda bertitah, pemerkasaan dari sudut prasarana dan teknologi perlu agar institusi ini kekal relevan dalam dunia pendidikan kontemporari.

“Beta akan memberikan perhatian khusus agar kemudahan infrasruktur asas dan teknologi terkini di Madrasah ini sesuai dengan legasi keperihatinan ‘Sultan Zainal Abdidin III’ kepada ilmu dan pendidikan,” titahnya.

Menjamin kelangsungan institusi pendidikan Islam, Sultan Mizan mencadangkan penjenamaan semula Khairat Zainal Abidin sebagai model kebajikan moden yang menggabungkan konsep wakaf, endowmen dan sedekah.

“Beta ingin mencadangkan agar ‘Khairat Zainal Abidin’ dijenamakan semula, menggabungkan instrumen wakaf, endowmen dan sedekah, bagi memastikan institusi-institusi pendidikan agama di bawah Kerajaan beta, terus berkembang maju.

“Tradisi permuafakatan ini perlu dilestarikan, tanpa kompromi,” titah baginda.

Baginda turut menyeru kerjasama antara tiga institusi yang lahir daripada warisan Sultan Zainal Abidin III iaitu Madrasah Sultan Zainal Abidin al-Arabiah, SMASZA dan KUSZA agar bergerak sebagai satu ekosistem pendidikan saling menguatkan.

“Mereka ibarat akar, pohon, dan ranting yang tumbuh dari benih yang sama, berkembang bersama di daerah Kuala Terengganu.

“Justeru, beta mencadangkan agar ketiga-tiganya saling mendukung dalam usaha meneruskan agenda mengharmonikan antara tradisi ilmu di negeri Terengganu dengan cabaran peradaban moden yang makin tidak menentu,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

- Advertisement -