Hari Suami Isteri sebagai alternatif Hari Kekasih

Rohani Ibrahim
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) akan menganjurkan Sambutan Hari Suami Isteri Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah pada 31 Mei ini.

- Advertisement -

Acara yang akan bermula seawal jam 8:00 pagi hingga 1:45 tengah hari itu dijangka menarik penyertaan lebih 500 pasangan dari seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, pelbagai aktiviti istimewa telah dirancang bagi meraikan pasangan suami isteri serta memperkukuh institusi kekeluargaan berteraskan prinsip Islam.

“Pelbagai aktiviti istimewa telah disusun bagi meraikan pasangan suami isteri dan memperkukuh institusi kekeluargaan berlandaskan prinsip Islam,” katanya dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman sosial.

Rohani berkata, sambutan ini merupakan alternatif sihat dan beradab berbanding sambutan Hari Kekasih yang dianggap bercanggah dengan budaya timur dan ajaran Islam.

“Sesungguhnya Islam amat menggalakkan kasih sayang dan cinta, namun ia mestilah dizahirkan mengikut kaedah dan garis panduan yang ditetapkan agama demi menjaga kemuliaan institusi perkahwinan dan keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Menurut beliau, program ini mula diperkenalkan pada tahun 2012 dan kini kembali dengan pengisian yang lebih segar, bermakna dan inklusif kepada para peserta.

Antara pengisian menarik yang menanti para peserta ialah program Bicara Cinta oleh daie selebriti, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dan pertandingan sukaneka suami isteri serta cabutan bertuah.

Juga akan diadakan taklimat buku panduan Keluarga Mawaddah dan persembahan dikir barat dan silat, serta penyediaan taman hiburan kanak-kanak bagi pasangan yang membawa anak-anak, serta pameran oleh agensi dan jabatan kerajaan.

Tambah Rohani lagi, melalui program tersebut, pemberian gelas ‘couple’ eksklusif kepada 400 pasangan terawal yang mendaftar dan perkhidmatan cetak gambar percuma turut diberikan sebagai kenangan manis bersama pasangan.

“Membawa tema ‘Bersama Hingga Ke Syurga’, sambutan ini diharapkan menjadi medan untuk menyuburkan kasih sayang, memperkukuh komunikasi rumah tangga.

“”(Ia juga sebagai) menyampaikan mesej bahawa cinta yang halal adalah anugerah yang wajar dipelihara dan diraikan dengan penuh keberkatan. Saya menyeru orang ramai, khususnya pasangan suami isteri di negeri ini untuk menyertai program ini.

“Jadikannya sebagai simbolik penghargaan terhadap pasangan masing-masing. Cintayang dijaga dengan iman akan kekal hingga ke jannah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2025

- Advertisement -