
Senario politik Sabah menjelang PRN17 (siri akhir)
PENYOKONG Warisan dalam kalangan masyarakat Kadazan, Dusun, Murud dan Rungus (KDMR) dikatakan telah beralih kepada parti tempatan lain khasnya GRS. Ini adalah cabaran besar kepada Parti Warisan ketika ini.
Kebanyakan penyokong Parti Warisan hanya tertumpu di kawasan majoriti masyarakat Bajau, Suluk dan iranun di Pantai Timur Sabah termasuk beberapa bahagian di pantai barat.
Pembentukan Kerajaan GRS Plus pasca PRN16
Mengikut pecahan gabungan parti yang menang pada PRN 2020 iaitu gabungan PH (menggunakan logo Parti Warisan) iaitu Warisan (23), Upko (1), PKR (2) dan DAP (6), Barisan Nasional (BN) – Umno (14) manakala Perikatan Nasional (PN) – Bersatu (11), STAR (6), PBS (7) sementara PAS tidak bertanding.
Atas persefahaman, PN dan Umno/BN berjaya membentuk kerajaan bersama dengan jumlah 38 kerusi berbanding PH yang hanya berupaya mendapat 32 Kerusi.
Bebas mendapat 3 kerusi DUN. Jumlah DUN Sabah adalah 73 kerusi.
Parti-parti dalam PN akhirnya menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memenuhi tuntutan dan semangat Sabah for Sabahan.
Jika ditinjau berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti yang bertanding, tidak ada satupun parti yang mampu menubuhkan kerajaan secara solo melainkan membentuk gabungan lebih besar selepas pilihan raya selesai.
Mungkinkah ini juga yang akan berlaku selepas PRN ke-17 nanti?
Berdasarkan andaian pada PRN17, gabungan GRS dan PH-BN boleh jadi mereka meraih sekurang-kurangnya 47 kerusi DUN berdasarkan kerusi yang dimenangi pada PRN 2020 sekali gus membentuk kerajaan baharu.
Pemerhati politik berpandangan bahawa jika gabungan politik ini berlaku, kelak akan melalui jalan yang amat sukar dalam pengagihan kerusi.
Situasi ini pastinya akan melahirkan calon-calon Bebas yang ramai sebagai tanda protes mereka kepada gabungan itu.
Kesediaan PAS menyertai PRN17
Sementara itu, bagaimana pula kedudukan PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional Sabah?
Perlu disedari bahawa, kerajaan yang terbentuk selepas PRN16 pada tahun 2020 adalah kerajaan Perikatan Nasional Plus yang terdiri daripada beberapa buah parti seperti Bersatu, STAR, SAPP dan PAS.
Termasuk dalam kerajaan adalah Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Umno/BN.
Namun selang setahun penubuhan kerajaan, terbentuklah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melibatkan parti-parti tempatan bagi mengambil semangat dan aspirasi rakyat Sabah.
Pada masa yang sama, ketika itu, pimpinan Bersatu yang diketuai oleh Datuk Seri Hajiji bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
SAPP dan STAR turut keluar daripada PN selepas PRU15 apabila PN tidak lagi menjadi kerajaan peringkat persekutuan.
Sementara PAS kekal sebagai ADUN Dilantik dalam kerajaan GRS sehingga kini.
Dalam penyertaan PRN17, PAS sedang mengintai beberapa kerusi tumpuan sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden, Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ini bermakna, PAS akan turut serta pada pilihan raya secara serius pada kali ini dengan persiapan yang lebih rapi berbanding sebelumnya di samping mengambil kira faktor-faktor semasa.
Untuk rekod, PAS Sabah bertanding setiap kali berlangsungnya pilihan raya sama ada peringkat parlimen mahupun negeri melainkan pada PRN16 dan PRU15 atas faktor semasa yang mewajarkan keputusan itu diambil.
Beberapa siri penegasan telah pun dibuat oleh pucuk pimpinan pusat termasuk oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dalam beberapa siri sidang medianya.
Bagi PAS Sabah, penyertaan dalam PRN kali ini turut mengambil kira rakan gabungan yang kuat dan bersesuain sejajar dengan hasrat dan aspirasi rakyat Sabah.
Berdasarkan gerak kerja dan perkembangan yang amat positif serta kelebihan seorang ADUN Dilantik yang proaktif, adalah tidak mustahil PAS negeri bakal melakar sejarah baharu dalam arena politik Sabah walaupun akan menghadapi ujian dan cabaran yang getir. – HARAKAHDAILY 17/5/2025
Penulis ialah Setiausaha Badan Perubungan PAS Negeri Sabah.












