
KUALA LUMPUR: PAS memandang serius pengakuan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng berhubung penerimaan dana yang didakwa datang daripada Perdana Menteri sendiri namun tidak diisytihar dan tidak diaudit dari pendedahan video sedang tular di media sosial.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, lebih membimbangkan, video tersebut menunjukkan bahawa dana berkenaan sengaja tidak dimasukkan ke dalam akaun rasmi dan diklasifikasikan sebagai ‘duit kotor’ agar tidak dapat dikesan melalui sistem perbankan.
“Perkara ini bukan sekadar soal disiplin dalaman PKR, tetapi membabitkan kemungkinan pelanggaran undang-undang negara termasuk Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Sehubungan itu, saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera membuka siasatan menyeluruh terhadap dakwaan serius ini,” gesa beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama desaknya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib bertindak dengan segera dan tidak menunggu arahan politik untuk memulakan siasatan atas kemungkinan berlakunya unsur rasuah dan pengubahan wang haram.
“Jika tiada sebarang penafian rasmi atau penjelasan terbuka daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim atau pimpinan tertinggi PKR dalam tempoh terdekat, laporan polis secara besar-besaran berkemungkinan akan dibuat di seluruh negara terhadap Perdana Menteri.
“(Ini) bagi mendesak siasatan dijalankan secara adil dan telus. Rakyat berhak tahu kebenaran dan tidak boleh dibiarkan terus dibohongi atas nama perjuangan reformasi yang kini dilihat semakin dipenuhi hipokrasi.
Pendedahan video berkenaan yang kini tersebar luas di media sosial mencetuskan persoalan besar mengenai integriti kepimpinan PKR, apatah lagi nama ahli perniagaan terkenal Malaysia turut disebut sebagai penyumbang dana kepada Perdana Menteri.
Persoalan lebih serius ialah sama ada wujud unsur pengubahan wang haram, memandangkan penggunaan dana tanpa pengisytiharan dan pengelakan daripada sistem bank merupakan antara ciri utama pelanggaran Seksyen 4(1) Akta AMLA 2001.
Lebih membimbangkan, pendedahan itu datang dari pemimpin tertinggi cabang parti itu sendiri dan sehingga kini, tiada sebarang penafian langsung daripada Lai Chen Heng terhadap kandungan video tersebut.
Beliau hanya menempelak pihak yang menyebarkan video itu, tanpa menafikan bahawa beliau adalah individu dalam rakaman berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/5/2025











