Penduduk lega YB Khuzaini bantu baiki rumah

- Advertisement -

BESUT: Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman terhadap kebajikan penduduk terus dizahirkan menerusi inisiatif membaik pulih rumah rakyat yang mengalami kerosakan.

- Advertisement -

Menerusi pendekatan turun padang secara konsisten, beliau bukan sahaja meninjau sendiri keadaan rumah yang rosak dan uzur, malah mengarahkan tindakan segera diambil bagi membantu penduduk yang benar-benar memerlukan.

Langkah itu bukan sekadar bersifat bantuan fizikal, tetapi juga satu bentuk pengiktirafan terhadap hak rakyat untuk tinggal dalam keadaan yang selesa dan selamat.

Bagi penduduk di Kota Putera, pendekatan mesra rakyat yang dibawa Nurkhuzaini bukan sekadar janji politik, tetapi satu bentuk khidmat yang benar-benar dirasai.

Dalam suasana ekonomi mencabar, kehadiran wakil rakyat yang peka dan bertindak segera terhadap isu rakyat memberikan harapan besar kepada komuniti luar bandar.

Usaha murni itu jelas membuahkan hasil apabila ramai penduduk tampil memberikan penghargaan dan mengakui bantuan tersebut telah mengubah kehidupan harian mereka.

“Saya, Shamsul Abdul Wahab, amat berterima kasih kepada Haji Khuz kerana telah memberikan sumbangan dapur kepada keluarga saya. Dalam keadaan sekarang, bantuan seperti ini sangat bermakna untuk kami sekeluarga. Terima kasih atas keprihatinan YB,” katanya.

Shamsul Abdul Wahab

Sumbangan tidak terhenti setakat itu sahaja, di Kampung Tembila, beberapa penduduk turut menerima bantuan membaiki rumah termasuk struktur utama seperti bumbung dan lantai yang sekian lama rosak.

“Saya Nur Afiqah Anuar mewakili ibu saya, Kamariah Salim. Alhamdulillah, rumah emak saya akhirnya dibaiki. Terima kasih kepada YB kerana prihatin dan cakna. Kami doakan YB terus kuat untuk bantu lebih ramai orang,” katanya dengan nada terharu.

Nur Afiqah Anuar

Bagi pula, tindakan pantas pihak ADUN membaiki atap rumahnya membuktikan bahawa pemimpin tidak harus menunggu musim pilihan raya untuk membantu rakyat.

“Terima kasih banyak-banyak YB, kerana sudah membaiki atap rumah kami yang sudah lama bocor.

“Semoga YB selepas ini lebih membantu lagi orang ramai di Kampung kita, terima kasih tunaikan permintaan kami, selalu juga datang ziarah dan bertanya khabar,” katanya yang juga penduduk Kampung Tembila.

Dalam pada itu, Fauziah Yusuf, isteri kepada Ramli Daud, turut menerima manfaat hasil aduan berkaitan kerosakan lantai rumahnya.

Fauziah Yusuf

“Saya ada buat aduan, tak sangka dapat respon cepat. Terima kasih kepada YB Haji Khuz dan pasukan beliau,” ujarnya.

Menurut Nurkhuzaini, inisiatif membaik pulih rumah itu dilaksanakan secara berperingkat dan berdasarkan keperluan paling mendesak.

“Alhamdulillah. Satu kepuasan buat saya dalam menyantuni rakyat Kota Putera. Saya hanya menjalankan tanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -