
PEJUANG menasihatkan agar Perdana Menteri berhenti dengan obsesi beliau pada terma bilion-bilion.
Terbaru dalam temuramah dengan Al-Jazeera dalam rancangan East 101, Perdana Menteri seperti hilang arah memberi jawapan tidak meyakinkan.
Disoal mengenai peranan beliau dalam isu pengampunan Najib Razak, jawapan Perdana Menteri lebih kepada elak ambil tanggungjawab.
Dialihkan pandangan bahawa semua orang obses kepada Najib Razak. Katanya Najib Razak sudah dalam penjara.
Tambahnya, ramai lagi yang pernah jadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan serta ‘crooks’ yang hilangkan bilion-bilion perlu dibawa ke muka pengadilan.
Obsesi Perdana Menteri nampaknya hanya bercakap tanpa merasai apa yang rakyat lihat dan sedar.
Kalau betul-betul Perdana Menteri mahu lawan rasuah dan salah guna kuasa, mengapa lanjutkan tempoh Azam Baki sebagai Pesuruhjaya SPRM? Dulu hendak tangkap sekarang dakap?
Kalau betul-betul mahu lawan rasuah, mengapa lantik Zahid Hamidi sebagai TPM 1 yang telah dipanggil bela diri di Mahkamah?
Kalau betul-betul mahu lawan rasuah, mengapa secara terbuka mahu bergabung dengan GRS di Sabah yang sedang terpalit skandal video di sana?
Kalau betul-betul mahu buat reformasi dan ‘good governance’ mengapa masih lagi pegang jawatan Menteri Kewangan?
Kalau betul PKR parti derita mengapa sekarang nampak berlebihan belanja kalahkan parti yang dulu dikutuk tetapi sekarang disanjung dipeluk dicium demi kerusi di Putrajaya.
Dalam wawancara itu juga jelas Perdana Menteri tidak mengerti perbezaan antara kes SRC dan 1MDB.
Pengampunan adalah bagi sabitan kes SRC. Kes 1MDB masih lagi berjalan. Maka jawapan selamat kononnya ada lagi kes masih berjalan jelas salah.
Perdana Menteri sedarkah anda bahawa rakyat mempersoal tindakan antara dua darjat bilamana Najib Razak mendapat potongan diskaun begitu banyak pada hukuman sedangkan rakyat biasa tidak sebegitu.
Dengan bangganya Perdana Menteri berkata dia yang melawan isu 1MDB ini. Tapi beliau harus sedar pada tahun 2017 ke 2018 sehingga Barisan Nasional tumbang yang buat kerja adalah rakyat dan PH 1.0 kerana masa itu beliau masih lagi dalam penjara.
Tanpa kemenangan dan mandat rakyat pada PRU14, hampir mustahil Anwar Ibrahim dapat pengampunan pada 14 Mei 2018.
Maka Anwar Ibrahim cukup-cukuplah memperbodoh rakyat dengan slogan hendak lawan kononnya ramai lagi yang mesti pulangkan bilion-bilion.
Setakat dari mula beliau jadi Perdana Menteri jelas skrip sama diulang tanpa apa-apa pertuduhan kepada orang yang beliau maksudkan.
PEJUANG menyatakan bahawa Perdana Menteri ini hanya obses bercakap tanpa berfikir. Baik disini atau di luar negara.
Henti obsesi atau henti jadi Perdana Menteri!
MUHAMMAD RAFIQUE RASHID ALI
Ketua Penerangan PEJUANG – HARAKAHDAILY 16/5/2025











