Bersediakah GRS bersama PH/BN?

- Advertisement -

Senario politik Sabah menjelang PRN17 (siri 2)

DALAM persaingan merebut hati rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, parti-parti politik sama ada yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia mahu pun tempatan sedang rancak menyusun strategi terutama bagi mencari rakan jajaran yang boleh membawa kemenangan bergaya.

- Advertisement -

Hasrat pimpinan utama Kerajaan Madani adalah gabungan harus selaras dengan semangat parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Mereka mahu agar PH-BN-GRS duduk sebumbung bagi menghadapi PRN kali ini walaupun usaha itu suatu yang amat sukar dari sudut perlaksanaannya.

Naratif yang sering dilaungkan untuk menjustifikasikan harapan mereka adalah demi kestabilan politik dan perpaduan.

Namun mereka juga harus menyedari bahawa senario politik Sabah ketika ini telah banyak berubah terutamanya kepentingan kuasa politik tempatan.

Situasi ini adalah cabaran besar walaupun disulami dengan pelbagai janji dan tawaran yang meyakinkan.

Sehubungan dengan itu, ujian getir bagi Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor setelah diasak oleh Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini ialah untuk membuat keputusan tuntas atas cadangan PMX itu.

Diyakini bahawa kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah tidak mungkin tersilap langkah dalam memilih rakan gabungan ideal menjelang PRN17 kelak.

Rakyat Sabah adalah keutamaan beliau sejajar dengan aspirasi Sabah harus ditadbir oleh orang Sabah di samping tidak meminggirkan peranan rakan parti gabungan lain termasuk yang bersifat Nasional.

Dalam hal demikian, Ketua Menteri Sabah itu harus berani menyatakan pendirian selaras dengan prinsip dan aspirasi GRS untuk kekal tidak bersama dengan PH/BN menghadapi PRN17 walau apapun tindakan yang bakal diterima.  

Andai kata Pengerusi GRS itu terpaksa akur atas desakan PMX, pemerhati politik meramalkan, adalah tidak mustahil rakan parti politik tempatan dalam GRS akan meninggalkan beliau dan partinya lalu membentuk jajaran baharu melainkan hal itu mungkin tidak akan terjadi sekiranya prinsip yang dipegang bersama terus kukuh.

Parti Warisan tekad ulangi kejayaan 2018

Bagi Parti Warisan Sabah yang pernah menguasai tampuk pemerintahan Kerajaan Sabah selama 2 tahun bermula 2018 hingga 2020, parti itu telah pun menetapkan pendirian akan bertanding secara solo namun masih terbuka dengan sebarang perbincangan dengan mana-mana parti yang sehaluan matlamat dan tujuan.

Justeru, parti itu enggan terikat dengan sebarang janji dan persefahaman dengan parti lain terutama yang berpangkalan daripada Semenanjung.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sendiri menegaskan bahawa, partinya lebih yakin bergerak secara solo sesuai dengan kehendak dan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kepimpinan tempatan.

Sungguhpun demikian, sebelum ini terdapat desas-desus bahawa Umno/BN sedang merisik Parti Warisan bagi menghadapi PRN secara bersama.

Hal ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dalam usahanya mencari rakan sekutu bagi menghadapi PRN kali ini.

Bung sendiri juga tidak yakin Umno/BN akan diberi mandat semula oleh rakyat tanpa sokongan parti lain.

Bagi Bung, tidak mungkin bekerjasama dengan GRS atas krisis yang diciptanya sendiri sebelum ini.

Pengerusi Umno Sabah itu perlu membungkus muka menahan malu seandainya desakan Presidennya untuk bersama dengan GRS menjadi kenyataan.

Bagi Umno/BN, jalan mudah untuk berkuasa semula di Sabah adalah melalui gabungan besar ini sebagaimana yang disebut berulang kali oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada pilihan raya 2020, parti Warisan memenangi 23 kerusi DUN namun hanya tinggal 14 kerusi ketika ini selepas beberapa ADUNnya bertindak melompat parti menyertai GRS.

Presidennya yakin boleh mengulangi sejarah 2018 sesuai dengan perubahan landskap politik ketika ini yang mahukan parti tempatan.

Beliau menantikan sekiranya gabungan PH, Umno/BN dan GRS menjadi kenyataan, ia adalah kelebihan bagi parti Warisan dan akan menjadikannya senjata ampuh dalam siri-siri kempen mereka pada pilihan raya kelak.

Kini parti Warisan sedang menjaja isu rasuah ADUN Sabah yang masih dalam siasatan SPRM bagi menagih simpati rakyat.

Seorang pensyarah sains politik di sebuah universiti tempatan menyebut bahawa, parti Warisan berjaya membentuk kerajaan pada PRU 2018 itu ekoran berlakunya tsunami politik seluruh negara ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun kini sudah jauh berubah.

Justeru Warisan diingatkan agar tidak merasa berada dalam zon selesa tanpa melihat senario dan perkembangan semasa politik negeri.

Penyokong Warisan dalam kalangan masyarakat Kadazan, Dusun, Murud dan Rungus (KDMR) dikatakan telah beralih kepada parti tempatan lain khasnya GRS.

Ini adalah cabaran besar kepada Parti Warisan ketika ini.

Kebanyakan penyokong Parti Warisan hanya tertumpu di kawasan majoriti masyarakat Bajau, Suluk dan Iranun di Pantai Timur Sabah termasuk beberapa bahagian di pantai barat. (bersambung)… – HARAKAHDAILY 15/5/2025

Sahar Abdul Majid

Penulis ialah Setiausaha Badan Perubungan PAS Negeri Sabah.

- Advertisement -