
PENGKALAN CHEPA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Dato’ Sri Amar Di Raja Datuk Mohd Amar Abdullah.
Ucapan yang memandu dan membangkitkan semangat perjuangan tersebut disampaikan dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri berkata, ucapan tersebut menyentuh dasar jiwa perjuangan anak muda bahawa warisan perjuangan bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dipikul dan diteruskan.
Jelas beliau, kekuatan PAS Pengkalan Chepa hari ini adalah hasil usaha dan pengorbanan generasi terdahulu yang membina asas perjuangan dengan air mata dan keringat.
Sehubungan itu, beliau yakin para Pemuda PAS telah mempunyai kesediaan untuk menyambung kesinambungan perjuangan tersebut dengan iltizam dan semangat yang diperbaharui.
“Pemuda hari ini bukan hanya datang untuk mengganti, tetapi bersedia untuk memperkukuh dan memperluas tapak perjuangan,” jelas beliau.
Katanya, sebagaimana disebut oleh Dato’ Mohd Amar, semangat semata-mata tidak mencukupi.
Oleh itu, ujar beliau, Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa akan terus memperkasakan diri dengan ilmu, pengalaman dan disiplin amal jamaie demi membawa risalah Islam dengan lebih yakin dan terarah.
Beliau turut menyatakan komitmen penuh Pemuda untuk terus menjadi tulang belakang kekuatan jemaah di Pengkalan Chepa.
Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa Kali Ke-47 bagi tahun 2025 turut menyaksikan pertukaran tampuk kepimpinan tertinggi bagi sesi 2025–2027.
Jawatan Ketua Pemuda kini disandang oleh Ustaz Hanifulfuad Hussin yang menggantikan Ustaz Mohd Afif Rabbani Abdullah.
Mohamad Taufiq Ramli dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda, manakala Nik Muhamad Sharul Aimiey Nik Hassan dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











