LGBT punca HIV-AIDS meningkat: Solusi PAS GTZ2030

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin menular dalam masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung terhadap peningkatan kes HIV atau AIDS di negara ini.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata gejala itu bercanggah dengan budaya tempatan dan ajaran Islam, sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran.

“Justeru, usaha pencegahan melalui pendidikan dan kesedaran amat penting. Sebagai langkah awal, Lajnah Kesihatan PAS Pusat telah mengadakan satu Bengkel Pemukiman Get To Zero (GTZ).

“Bengkel selama dua hari bagi melatih para jurulatih yang akan menjadi tenaga penggerak utama dalam menjayakan modul kesedaran ini. Hasil dari bengkel ini, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah melancarkan Pelan Tindakan Komprehensif (GTZ 2030).

“Ia sebagai usaha kolektif menangani isu HIV atau AIDS secara sistematik, menyeluruh dan berpaksikan nilai Islam,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, pelan itu dirangka bagi menyokong agenda nasional Ending AIDS 2030 yang menetapkan sasaran 95-95-95 yang bermaksud 95 peratus individu berisiko menjalani saringan HIV.

“Seterusnya, 95 peratus mengetahui status kesihatan mereka dan 95 peratus pesakit HIV berjaya mencapai kawalan ‘viral load’ yang rendah.

“Di samping itu, GTZ 2030 menampilkan lima pendekatan strategik iaitu pencegahan awal di kalangan golongan muda dan berisiko seperti golongan LGBTQ melalui prinsip A-B-C-D (Abstinence, Be Faithful, Condom, Drug).

“Seterusnya, program pemulihan spiritual dan psikososial melalui Modul Hijrah dan CITY GTZ. Selain itu, rawatan bersepadu 3C (Comprehensive, Compassionate, Care) melalui Klinik HIV atau PREP (Pre-exposure Prophylaxis),” katanya.

Tambah beliau, kempen advokasi media bagi membanteras kandungan dan aplikasi siber berunsur seksual berisiko, serta kajian impak dan penilaian berterusan terhadap program pencegahan dan rawatan ke arah abstinen.

Beliau berkata, pelaksanaan pelan ini berteraskan prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar, menyatukan pendekatan berasaskan bukti saintifik dengan nilai Islam, serta memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif berlandaskan modul pakar Muslim pelbagai bidang.

“GTZ 2030 mencerminkan komitmen PAS untuk memperkukuh nilai kesihatan, kesejahteraan rohani dan ketahanan sosial ummah, khususnya dalam menyantuni komuniti hijrah yang terkesan.

“Sebagaimana peringatan Allah SWT dalam Surah al-Syu’ara’ ayat 165 hingga 166 terhadap perbuatan melampaui batas, usaha ini adalah langkah memulihkan akhlak dan kesihatan masyarakat melalui pendekatan bio-psiko-sosio-spiritual yang holistik dan inklusif.

“Dengan iltizam bersama, kita mampu melangkah ke arah sifar jangkitan baru, sifar diskriminasi dan sifar kematian akibat AIDS. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2025

- Advertisement -