
ARAU: Hari Jururawat Sedunia 2025 turut dirai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim dengan mengadakan lawatan mesra ke tiga klinik desa dalam kawasan DUN diwakilinya.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri bersama isteri, Siti Khadijah Musthafa telah menyantuni para jururawat bertugas di klinik-klinik tersebut yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan setempat.
Siri lawatan yang berlangsung pagi tadi melibatkan Klinik Desa Kampung Simpang 3 Guar Sanji, Klinik Tambun Tulang Guar Sanji dan Klinik Kampung Serdang.
Kunjungan ini ujarnya, bertujuan menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada petugas barisan hadapan dalam sektor kejururawatan, khususnya yang berkhidmat di peringkat komuniti desa.
Mohd Ridzuan turut menyampaikan cenderamata dan ucapan penghargaan kepada para jururawat sebagai tanda sokongan atas khidmat bakti mereka yang tidak mengenal penat lelah dalam menjaga kesihatan rakyat.
“Sambutan Hari Jururawat ini bukan sahaja simbolik, tetapi juga peluang untuk kita menzahirkan rasa terima kasih atas jasa mereka. Jururawat adalah nadi penting dalam sistem kesihatan, terutama di kawasan luar bandar seperti Guar Sanji,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan jururawat sebagai wira tanpa balasan dengan sentiasa ada di sisi masyarakat, sama ada dalam waktu senang atau krisis, termasuk ketika pandemik COVID-19 dahulu yang menyaksikan pengorbanan luar biasa para petugas kesihatan.
Para jururawat yang ditemui kelihatan terharu dan berbesar hati dengan keprihatinan wakil rakyat tersebut yang turun padang secara langsung sempena hari istimewa buat mereka.
Malah, kehadiran beliau bersama isteri turut mencerminkan nilai kekeluargaan dan semangat komuniti yang kuat dalam hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Sambutan Hari Kejururawatan Sedunia yang diraikan setiap 12 Mei di seluruh dunia merupakan penghormatan kepada sumbangan Florence Nightingale, pengasas kejururawatan moden.
Sambutan juga menjadi wadah penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan penting jururawat dalam sistem penjagaan kesihatan. – HARAKAHDAILY 13/5/2025













