
PEMERHATI politik ketika ini sedang menumpu sepenuh perhatian mereka terhadap senario politik Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 17 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Dimulai dengan perubahan drastik landskap politik Sabah selepas Umno/BN gagal menerajui semula tampuk pemerintahan negeri pada PRN 2018, menjadikan gabungan parti keramat itu hilang kekuatan dan arah tuju.
Seterusnya, episod kegagalan cubaan menggulingkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS Plus) pada tahun 2023 oleh Umno dengan cara menarik sokongan selepas membentuk kerajaan bersama pada tahun 2020.
Kesempatan ini pula diambil oleh Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi membentuk kerajaan bersama GRS Plus bagi menggantikan Umno ketika ini.
Umno/BN terus jatuh ditimpa tangga apabila beberapa ADUNnya sendiri tidak turut bersamanya dan kekal dalam kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selepas usaha meruntuhkan kerajaan gagal.
Apapun, Kerajaan GRS yang dibentuk bersama PH termasuk seorang ADUN PAS selepas Umno/BN menarik sokongan terus kekal sehingga ke hari ini. Apakah nasib yang akan diterima oleh Umno/BN selepas ini, kita tunggu dan lihat.
Ketika ini, parti-parti politik masing-masing mencari rakan sepasukan yang secocok dengan cita rasa yang tersendiri bagi menguasai landskap politik selepas PRN17 nanti.
Uniknya, semua parti yang membentuk kerajaan negeri ketika ini adalah parti yang sama membentuk kerajaan di peringkat persekutuan kecuali PAS.
PAS kekal dalam kerajaan negeri walaupun di peringkat nasional sebagai pembangkang.
Logiknya, tidak timbul masalah dalam usaha membentuk gabungan bersama bagi menghadapi PRN17 dengan mengambil semangat Kerajaan Perpaduan.
Ternyata aspirasi Kerajaan Madani tidak secocok dengan aspirasi kerajaan negeri ketika ini.
Sebab itulah beberapa siri ucapan dan desakan pimpinan utama Kerajaan Madani agar gabungan parti atas semangat persekutuan perlu diteruskan bagi menghadapi PRN17 nanti.
Desakan ini menggambarkan kebimbangan PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi andai gabungan ini tidak tecapai makamusnahlah harapan besar mereka untuk mnguasai politik Sabah selepas PRN17.
Desakan ini sejajar dengan harapan besar mereka menjadi kenyataan. Bagi PMX, dalam diam partinya turut memgintai jawatan Ketua Menteri (KM).
Sementara itu, Presiden Umno, Zahid Hamidi lebih besar harapannya agar partinya duduk di kerusi empuk jawatan KM kembali sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan selepas PRN kelak.
Dengan erti kata lain, PRN17 ini juga adalah persaingan PMX dan timbalannya dalam perlumbaan secara diam bagi merebut kerusi empuk Ketua Menteri kelak dengan meletakkan nama-nama tokoh politik tempatan masing-masing.
Bagi Hajiji yang juga pengerusi GRS, keutamaan mereka adalah kepimpinan politik negeri harus dikuasai oleh parti dan pimpinan tempatan dengan tidak menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti nasional yang lain.
Isu besar yang timbul ketika ini adalah, apakah GRS boleh menerima kerjasama dengan Umno/BN sekiranya mengambil kira sejarah hitam Umno dalam cubaannya merampas kuasa pada tahun 2023 lalu.
Luka tusukan sembilu tajam ini tidak mungkin sembuh dalam masa terlalu singkat.
Bagi pemerhati politik, tindakan ini adalah suatu ‘dosa besar’ yang tidak mungkin diampunkan sekalipun dengan ‘taubat nasuha’.
Bagi PH Sabah, khususnya DAP, atas desakan PMX, DAP Sabah terpaksa akur menerima rakan sekutu walapun dalam hati besar mereka, Umno/BN adalah bebanan untuk mereka menghadapi PRN akan datang.
Terbaharu, ketika PMX berada di Tawau, Sabah bagi merasmikan Program Solar Madani pada 11 Mei lalu yang turut dihadiri KM Sabah, beliau mengulangi harapannya agar Datuk Seri Hajiji yang juga Pengerusi GRS agar menerima gabungan GRS, PH dan Umno/BN bagi menghadapi PRN17 kelak.
Umum mengetahui, sejak awal lagi Pengerusi GRS itu telah mengulangi pendiriannya bahawa sekiranya PH dan Umno/BN Sabah mewujudkan pakatan, GRS akan bergerak secara solo.
Ini adalah isyarat jelas daripada GRS dan sejajar dengan kehendak akar umbi parti.
Apakah mungkin bagi melembutkan hati Pengerusi GRS itu, PMX akan menggunakan segala ruang dan kesempatan yang ada bagi memastikan GRS bersetuju dengan pembentukan 3 gabungan besar ini (GRS, PH dan Umno/BN).
Sehingga ada pemerhati politik menyatakan bahawa PMX akan menggunakan isu rasuah ADUN Sabah sebagai senjata tajam untuk memujuk.
Ada juga menyebutkan PMX berjanji akan mengekalkan jawatan KM kepada Hajiji sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas PRN nanti.
Terdapat juga telahan politik menyebutkan, sekiranya Hajiji tersilap langkah dan menerima janji manis PMX ini, bermakna beliau menjadi mangsa seterusnya permainan politik PMX sebagaimana yang berlaku kepada Rafizi Ramli dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden Keadilan Pusat.
Bagaimana pula Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Safei Apdal? Begitu juga dengan PAS dan Perikatan Nasional Sabah?
Episod 2 akan menyusul…– HARAKAHDAILY 12/5/2025

Penulis ialah Setiausaha Badan Perubungan PAS Negeri Sabah.











