
MARANG: Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Hishamuddin Abdul Karim menyeru agar para muslimat PAS terus teguh dan konsisten dalam perjuangan dengan berpegang kepada lima prinsip utama iaitu iman, ikhlas, ilmu, infiru dan istiqamah (5I).
“Kita tidak menang kerana kita kuat. Tetapi kita menang kerana Allah menolong kita. Dan untuk terus mendapat pertolongan Allah, kita mesti memelihara asas perjuangan iaitu iman yang melahirkan keberanian, keikhlasan dalam amal, keluasan ilmu, semangat berkorban dan istiqamah yang berterusan,” ujar beliau.
Beliau menyampaikan seruan tersebut ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Marang kali ke-40 di Dewan Majlis Daerah Marang di sini, semalam.
Mengulas kemenangan besar PAS Terengganu dalam PRU15 dengan keputusan 32-0, beliau menegaskan bahawa kemenangan bukan untuk bermegah, sebaliknya satu ujian besar.
“Kita tetap manusia biasa, ada kelemahan, ada kekurangan. Tetapi kita beruntung kerana ada Tuan Guru Haji Hadi sebagai murabbi, dan kita ada saluran seperti usrah dan muktamar untuk saling menegur dengan penuh adab dan kasih sayang,” katanya lagi.
Selain itu, beliau turut menyentuh keperluan penguasaan ilmu yang pelbagai termasuk ilmu pengurusan, komunikasi, siasah dan pemahaman psikologi rakyat khususnya dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri dan menangani persepsi awam terhadap dasar-dasar kerajaan.
“Sebagai contoh, isu pengharaman vape bukan dibuat secara terburu-buru. Kerajaan negeri telah mengkaji dan membandingkan dengan tindakan negara lain seperti Thailand.
“Keputusan yang diambil adalah atas dasar perlindungan kesihatan awam,” jelas beliau yang juga ADUN Tepuh. – HARAKAHDAILY 11/5/2025











