
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu digesa bergerak lebih agresif bersama pimpinan PAS kawasan bagi merampas kembali kerusi DUN Kota Lama yang dimenangi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Pemangku Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Shaari Mat Yaman berkata, usaha bersungguh itu mesti disertai golongan muda bagi memastikan hasrat tersebut berjaya.
“Pada masa yang sama Pemuda Kota Bharu mesti dilihat lebih agresif dan berdinamik dalam menarik sokongan, terutama sasaran anak muda,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu di sini.
Katanya lagi, program-program tarikan orang muda perlu dinilai dan disusun semula bagi memastikan mereka merasa tertarik untuk mendekati PAS.
Mesyuarat tersebut turut dirasmikan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed dengan dihadiri sama ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.
Sementara itu, Mohamad Kamal ketika merasmikan mesyuarat tersebut mengingatkan supaya anak muda PAS tidak terpengaruh dengan pelbagai ideologi karut yang kini menyerap ke dalam pemikiran masyarakat dunia.
Katanya, fahaman seperti sekularisme dan liberalisme bertujuan memesongkan akidah dan pemikiran pemuda Islam.
“Program bersifat keilmuan dan wacana ilmiah perlu diikuti oleh pemuda Islam sebagai perisai diri agar tidak terjebak dakyah fahaman songsang yang turut menular dalam negara kita,” ujar beliau.
Menurutnya, pemuda Islam perlu mengambil teladan daripada Ashabul Kahfi yang istiqamah mempertahankan tauhid dan Islam meskipun berhadapan pemerintah yang zalim.
Beliau juga menegaskan bahawa Islam tidak pernah menyekat pembangunan fizikal, namun ia perlu seiring dengan pembangunan rohani agar matlamat kehidupan seimbang dan tidak tersasar.
Sementara itu, pada pemilihan sesi kali ini, Marwan Husin dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu bagi sesi 2025/2027 setelah menang tanpa bertanding, menggantikan Ustaz Muhamad Abdul Malik Abdul Karim yang telah melepasi had usia.
Muhamad Aminuddin Bunyamin turut menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Ketua, manakala Muhammad Ridzwan Hafizu Azhari sebagai Naib Ketua. – HARAKAHDAILY 10/5/2025












