Jangan serah kedaulatan sumber strategik negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dipersoalkan terhadap kemungkinan menyerahkan sumber mineral kritikal negara kepada kuasa asing dalam rundingan perdagangan yang sedang berlangsung, khususnya melibatkan Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) membangkitkan perkara itu ketika mencelah ucapan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

“Saya nak tanya, dalam rundingan yang MITI jalankan di Washington, adakah benar mereka (AS) berminat dengan sumber mineral unsur nadir bumi (REE) kita khususnya dalam negeri di bawah Perikatan Nasional (SG4) sebagai timbal balas untuk pengurangan tarif atau akses dagang lain?” soalnya dengan nada tegas.

Beliau turut merujuk contoh Ukraine yang pernah menandatangani perjanjian strategik dengan syarikat asing ketika berada dalam kedudukan tawar-menawar yang lemah, dan mengingatkan kerajaan agar tidak mengulangi kesilapan sama.

Selain isu REE, Wan Ahmad Fayhsal juga menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan Malaysia memanfaatkan potensi besar dalam industri halal global disebabkan birokrasi yang rumit, khususnya melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau mendedahkan bahawa wakil Malaysia yang menyertai forum antarabangsa di Kazan dua tahun lalu, termasuk wakil JAKIM, gagal meyakinkan pihak luar berkenaan standard halal Malaysia kerana dilihat terlalu kompleks dan tidak mesra pelabur.

“Saya dan Yang Berhormat (YB) Kota Raja sendiri pernah sepentas di Kazan. Wakil JAKIM pun ada. Tapi penerangan mereka sangat mengecewakan. Ramai yang kata susah nak ikut standard halal Malaysia sebab kerenah birokrasi.

“Kita patut pertimbang peranan MGCC (Malaysia Global Certification Centre) untuk bantu percepatkan urusan halal ini,” ujarnya mencadangkan MGCC diberi kuasa sementara mengambil alih peranan JAKIM dalam pensijilan halal bagi tujuan eksport, sebagai langkah segera memacu hab dagang halal Malaysia.

Walaupun Menteri MITI mengakui bahawa Amerika Syarikat ada membangkitkan soal mineral strategik dalam rundingan, namun kerajaan masih belum memberi jawapan konkrit mengenai had dan garis panduan dalam tawar-menawar yang berlaku.

Malah, isu halal yang dibangkitkan turut diakui perlukan ‘penambahbaikan’, namun tiada jaminan perubahan struktur atau kecekapan agensi yang terlibat akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Saya akui, ada ruang untuk penambahbaikan dalam sistem pensijilan halal kita. Tapi ia bukan hanya isu JAKIM, ada beberapa kementerian lain terlibat juga. Kita akan lihat secara menyeluruh,” kata Tengku Zafrul. – HARAKAHDAILY 5/5/2025

- Advertisement -