RUU URA bakal cetuskan perang antara kelas, darjat

Sokong dan dukung himpunan 14 Jun 2025

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PEJUANG akan sentiasa menyokong mana-mana usaha untuk pembangunan yang mampan demi masyarakat bertamadun dan model insan berteras nilai-nilai moderat ketimuran, kata Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Menurut beliau, PEJUANG melihat sekiranya RUU URA sepertimana dalam bentuk dan deraf pada 26 November 2024 diteruskan, ianya akan membawa lebih banyak kemudaratan dari kebaikkan pada masyarakat keseluruhan.

“Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu diteliti secara menyeluruh oleh semua pemegang taruh dan idea-idea bagi memastikan rakyat kebanyakan tidak menjadi mangsa pada golongan yang kaya dan berpengaruh.

“PEJUANG menekankan lagi sekali, URA ini adalah pemangsa yang tidak kenal pada bangsa, agama atau warna kulit, URA hanya melihat pada tanah, bangunan dan wang. Malaysia berhadapan dengan peperangan antara kelas atau darjat bukannya antara kaum.

“URA akan menjadi percikan kepada peperangan tersebut. Amat penting semua pihak yang berkesefahaman sama dalam isu ini bangkit sama-sama melawan cadangan Madani bagi URA ini yang mungkin akan dibentang pada Jun atau Julai ini di Dewan Rakyat.

PEJUANG menggesa semua pihak menzahirkan bantahan terhadap RUU tersebut dan terus membantah sehingga URA memihak pada rakyat,” ujarnya menyahut dan menyokong penuh Himpunan Lawan URA pada 14 Jun depan.

Himpunan dicadangkan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dijanjikan PEJUANG akan turut bersama dan menyeru rakyat kebanyakan menunjukkan bantahan mereka terhadap Kerajaan Madani pada waktu itu. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -