
KUALA KRAI: Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda pembangunan berteraskan Islam melalui pelbagai inisiatif termasuk sukan lasak yang menyatukan seluruh masyarakat serta mempromosikan pelancongan negeri.
Pelan strategik ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ menjadi dasar panduan utama kerajaan negeri dalam merangka aktiviti yang seimbang antara keperluan rohani dan jasmani rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Kesihatan, Hilmi Abdullah menegaskan perkara itu atas penganjuran sukan lasak 4×4 yang diadakan, di sini kelmarin.
Program itu dijayakan Pertubuhan Anak Sejahtera Kuala Krai (PASAK), Lacar Group Barracuda dengan kerjasama Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan.
Sebanyak 190 peserta mewakili 16 pasukan kategori berkumpulan dan 20 pasukan kategori ‘open hardcore’ menyertai acara ini, melibatkan lebih 80 kenderaan pacuan empat roda.
Penyertaan terdiri daripada pelbagai negeri termasuk Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Kuala Lumpur dan juga peserta antarabangsa dari Pattaya, Thailand.
“Program sebegini amat bertepatan dengan aspirasi Kempen Indahnya Kelantan yang bertujuan memperkenalkan kepada dunia keindahan alam semula jadi, keunikan budaya serta keramahan rakyat Kelantan,” ujarnya.
Tambahnya, aktiviti 4×4 bukan sahaja menarik minat pelancong, malah membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Beliau juga menyambut baik cadangan agar acara ini dijadikan acara dwitahunan yang berpotensi menjadikan Kelantan sebagai pusat sukan lasak di Pantai Timur serta pemangkin kepada sektor pelancongan negeri.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan kepada mana-mana pihak termasuk NGO yang mengemukakan inisiatif memberi impak positif kepada rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, Kelantan kini giat membuat persiapan sebagai tuan rumah SUKMA 2028 dan melihat penganjuran aktiviti seperti ini sebagai peluang memperluaskan semangat kesukanan serta memperkukuh infrastruktur dan ekosistem sukan negeri.
“Sukan adalah wahana pembinaan sahsiah dan perpaduan, selari dengan nilai-nilai Islam dan aspirasi negeri,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 4/5/2025











