
KOTA BHARU: Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut yang sebelum ini dihenti tugas susulan pencemaran racun di kolam ikan pada 13 April lalu, telah kembali beroperasi sebagaimana biasa sejak minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, air mula kelihatan jernih seawal hari ketiga selepas pencemaran itu dikesan dan akhirnya disahkan bebas dari pencemaran.
“Bagaimanapun, kita mengikut prosedur dengan menghantar sampel air untuk ujian terlebih dahulu sebelum ia dimuktamadkan bersih dari pencemaran.
“Isu ini berjaya diselesaikan dalam tempoh seminggu dan laporan menunjukkan air kini selamat digunakan, malah sungai juga telah kembali bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kutipan Derma Bagi Membantu Mangsa Kebakaran, Tabung Amal DUN Kijang, di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan terdapat gangguan kualiti air mentah akibat pencemaran di muka sauk LRA Wakaf Bunut, Pasir Puteh.
Menurut sumber AKSB, demi keselamatan dan keperluan semakan lanjut, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengarahkan loji berkenaan dihentikan operasinya buat sementara waktu.
Sampel air telah diambil dari Sungai Rasau berhampiran muka sauk LRA Wakaf Bunut, selain dua lagi sampel tambahan dari alur air berdekatan kolam ikan yang mengalir ke Sungai Jeram Batu Hitam. – HARAKAHDAILY 2/5/2025











