Vape: Penjajahan baharu meresap halus dalam masyarakat

- Advertisement -

ARAU: Penggunaan vape atau rokok elektronik kini bukan lagi perkara asing kepada masyarakat, bahkan semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan pelbagai peringkat umur termasuk remaja dan pelajar sekolah.

- Advertisement -

Lebih membimbangkan, budaya ini dilihat telah berakar dalam kehidupan seharian tanpa disedari sedang menjajah dengan cara baharu bersifat halus, namun amat berbahaya dari segi kesihatan, sosial, akhlak dan pembangunan insan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis, Ustaz Idris Yaacob menyifatkan fenomena ini sebagai suatu bentuk penjajahan baharu yang sedang meresap perlahan-lahan dan amat sukar dibendung sekiranya tiada tindakan tegas diambil oleh semua pihak.

“Saya menyokong sepenuhnya usaha mana-mana pihak antaranya yang terawal Kerajaan Negeri Terengganu dan Perlis yang berhasrat mengharamkan premis jualan vape kerana terlalu banyak mudarat yang timbul daripadanya.

“Ia bukan sahaja membahayakan individu yang menggunakannya, tetapi turut memberi kesan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya,” tegas beliau.

Menurutnya, penggunaan vape jelas bertentangan dengan prinsip syariat Islam yang meletakkan kepentingan menjaga nyawa dan kesihatan sebagai salah satu daripada lima maqasid utama dalam agama.

“Islam amat menekankan soal menjaga kesihatan dan mencegah kemudaratan. Maka sesuatu yang terbukti memudaratkan tidak boleh dihalalkan hanya kerana ia dianggap trend semasa atau kononnya kurang bahaya berbanding rokok,” katanya lagi.

Ustaz Idris menegaskan, walaupun vape sering dipromosi sebagai alternatif yang lebih ‘selamat’ berbanding rokok konvensional, hakikatnya pelbagai kajian telah membuktikan sebaliknya.

Mehurut beliau, kajian menunjukkan bahan kimia dalam cecair vape boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru, ketagihan nikotin, serta menjadi punca kepada masalah jantung dan lain-lain penyakit kronik.

Lebih parah katanya, ramai dalam kalangan remaja kini menjadikan vape sebagai gaya hidup sehingga mengabaikan pelajaran, menghabiskan wang perbelanjaan dan terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif termasuk gejala dadah.

“Kita lihat hari ini bagaimana pelajar sekolah menengah dan rendah pun sudah mula terjebak. Ini bukan lagi soal kesihatan semata-mata, tetapi soal akhlak, soal masa depan generasi,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan budaya vape ini sebagai sebahagian daripada strategi musuh Islam untuk meruntuhkan kekuatan umat dari dalam melalui penjajahan pemikiran dan gaya hidup yang melalaikan.

“Ini merupakan penjajahan baru yang sedang meresap secara halus, tanpa disedari melainkan mereka yang prihatin dalam hal ini.

“Musuh tidak semestinya datang dengan senjata, kadangkala mereka datang melalui hiburan, gaya hidup dan apa sahaja yang melemahkan umat dari sudut dalaman,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau menyarankan agar kerajaan mengambil langkah lebih tegas dan berani dalam menangani isu ini, termasuk dengan menggubal undang-undang melarang penjualan dan penggunaan vape secara menyeluruh.

“Jangan tunggu hingga perkara ini menjadi lebih parah. Lihat bagaimana negara-negara lain seperti Singapura dan Thailand telah mengharamkan vape sepenuhnya.

“Malaysia juga perlu berani mengambil langkah yang sama demi menyelamatkan generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar satu kempen besar-besaran dilaksanakan oleh pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan badan keagamaan untuk memberi kesedaran menyeluruh mengenai bahaya vape.

“Kita perlu kembali kepada pendekatan pendidikan dan dakwah. Ulama, guru, pendakwah dan ibu bapa harus bekerjasama mendidik masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan trend yang memudaratkan ini,” tambah beliau.

Menurut Ustaz Idris, antara punca utama gejala ini merebak dalam kalangan remaja adalah kerana kurangnya perhatian dan pemantauan daripada ibu bapa.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sekolah atau pihak berkuasa. Peranan ibu bapa amat besar dalam hal ini. Mereka perlu peka, prihatin dan berani menegur serta mendidik anak-anak agar tidak terjebak dalam kancah yang merosakkan,” katanya.

Tambahnya, rumah tangga adalah benteng pertama dalam membina peribadi dan sahsiah anak-anak yang jika rapuh, maka mudahlah anasir luar masuk dan menguasai pemikiran serta tingkah laku generasi muda.

“Jangan biarkan anak-anak kita menjadi mangsa kepada budaya songsang yang merosakkan ini. Kita bertanggungjawab memelihara amanah Allah ini sebaik mungkin,” katanya lagi

Justeru, beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat agar bersama-sama menyedari bahaya vape dan menolak budaya ini daripada terus menjadi kebiasaan dalam masyarakat Islam.

“Marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Budaya hedonisme, kelalaian dan kemewahan melampau ini hanya akan memusnahkan kita dari dalam.

“Bangsa dan agama hanya akan kuat jika masyarakatnya sihat, berilmu dan berakhlak mulia,” ujarnya.

Menurut beliau, perjuangan menentang penjajahan baru ini adalah tanggungjawab semua bukan hanya ulama atau kerajaan semata-mata  tetapi juga setiap individu Muslim yang cintakan agama dan tanah air.

“Jika kita lalai, kita akan mewariskan kelemahan kepada generasi akan datang. Ayuh kita bangkit, kita didik dan kita selamatkan generasi ini dari penjajahan halus yang kian membarah,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 30/4/2025

- Advertisement -