
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada pelajar Orang Asli, Nur Syafienaz Nazri, 17, sebagai penghargaan atas kejayaan memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pejabatnya di MABNA Kompleks Kota Darulnaim, di sini kelmarin.
Beliau berkata, kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panggung Jaya, Gua Musang itu amat membanggakan, bukan sahaja kepada keluarganya, tetapi seluruh rakyat Kelantan.
“Kerajaan Negeri Kelantan melalui YAKIN telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 sebagai penghargaan atas kejayaan cemerlang yang diraih oleh adik Nur Syafienaz yang cemerlang pada peperiksaan SPM ini.
“Apa yang kita lakukan ini kerana kerajaan negeri sentiasa komited menjaga kebajikan seluruh rakyat, termasuk masyarakat Orang Asli tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Mohd Nassuruddin turut berharap agar kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada anak-anak Kelantan yang lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud serta Pengarah YAKIN, Nik Jessin Tan Sri Nik Hashim.
Sementara itu, Nur Syafienaz yang hadir bersama ibunya, Siti Norsyakila Kamaruzaman, menzahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diterimanya.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas perhatian pelbagai pihak, khususnya YAB Menteri Besar.
“Saya sangat gembira dan terharu dengan penghargaan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut.
Nur Syafienaz, anak Orang Asli dari suku Temiar, turut menyimpan cita-cita untuk menjadi guru bahasa Inggeris demi membantu keluarganya dan memperkasa masyarakat Orang Asli. – HARAKAHDAILY 30/4/2025











