
BENTONG: PAS Kawasan Bentong buat julung kalinya telah meraikan Sambutan Aidilfitri pada tahun ini di pekarangan Kompleks Fastaqim (KOMFAST) PAS Kawasan Bentong, di sini Ahad baru-baru ini.
Pengerusi KOMFAST, Yatim Abu berkata, sambutan ini merupakan satu pengenalan kepada masyarakat terhadap usaha PAS Bentong selama dua tahun berjuang membugar impian membangunkan sebuah pusat aktivitinya.
Pengerusi Assabiqun PAS Bentong itu juga berkata, paling penting pusat aktiviti jamaah itu bakal dibangunkan di atas tanah yang dibeli hasil daripada duit poket ahli, sekali gus menjadi satu syiar bukti kewujudan PAS di Bentong.
“Ini antara objektif utama sambutan kali ini, bukan semata-mata nak ‘intro’, kompleks kami (KOMFAST), nak ‘promote’ bangunan tu, yang paling penting nak beritahu, nak tunjuk bukti pada masyarakat, PAS ni ada, wujud kat bumi Bentong, bila kompleks ni tertegak nanti.
“Ada orang tanya, PAS Kawasan Bentong ada tanah? Betul ke? Apa tak betulnya, betullah, nilah dia. Kami dah beli tanah ni, tapi belum habis bayar lagi.
“Insya-Allah, pemilik tanah berbesar hati izinkan kami bayar sikit-sikit, ansur-ansur, duit ada dalam poket ahli,” ujar Yatim merangkap Pengarah Sambutan Aidilfitri PAS Kawasan Bentong.
Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah di dalam ucapannya ketika merasmikan program turut menyeru hadirin terutama ahli untuk sama-sama menyumbang dan berinfak bagi pembelian tanah tersebut kerana pahalanya kekal hingga kiamat.
“Saya teringat kata-kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim (Tuan Man) masa iftar negeri baru-baru ni. Beliau kata, “Tanah ini, pahala dia kekal sampai kiamat. Takpe tak banyak, tapi biar ada saham atas tanah ni.”
“Jadi, marilah kita sama-sama menyumbang, keluar sikit sorang. Kata almarhum Ustaz Fadhil Nor, duit PAS ada dalam poket ahli, nilah yang PAS Kawasan Bentong tengah buat, kumpul duit sikit-sikit, ahlilah yang sumbang nak bayar tanah ni,” ujarnya.
Hampir 1,000 tetamu hadir meraikan sambutan raya yang diisi dengan pelbagai acara termasuk pemberian sumbangan kepada ‘dhuyufurrahman’ yang kali pertama akan menunaikan haji.
Juga diadakan cabutan bertuah serta pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang menjadi antara agenda wajib pihak penganjur jamuan raya.
Majlis tambah meriah dengan kehadiran Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Roslan Zainal al-Ahmadi merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis serta beberapa orang lagi pimpinan PAS Kawasan Raub serta Cameron Highlands.
Untuk rekod, dua tahun lalu PAS Kawasan Bentong telah membeli sebidang tanah bernilai lebih setengah juta ringgit, milik keluarga Almarhum Ustaz Idris Omar, mantan Pesuruhjaya PAS Pahang (1999 – 2004).
Tanah di dalam DUN Ketari tersebut terletak berhampiran koridor penghubung laluan altenatif ke bandar Raub, Kuala Lipis dan Kelantan.
Dengan keluasan hampir satu ekar dan berada di lingkaran strategik ‘segitiga emas’ Bentong, ia dijangka akan dibangunkan pusat tarbiah PAS Kawasan Bentong dikenali sebagai Kompleks Fastaqim (KOMFAST).
PAS kawasan sudah selesai membuat bayaran deposit tanah sebanyak sepuluh peratus serta melunaskan bayaran fasa pertama dan kini sedang giat berusaha mengumpul dana untuk baki bayaran fasa seterusnya.
Pada 24 Disember tahun lepas PAS Bentong telah menganjurkan Majlis Makan Malam Amal bagi mengutip dana kompleks tersebut dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad. – HARAKAHDAILY 30/4/2025











