
TAPAH: Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Ustaz Mohd Fakhrudin Abd Aziz menyifatkan kegagalan Barisan Nasional (BN) untuk mencapai sasaran 18,000 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning sebagai satu kejayaan pihaknya.
Menurut beliau, kejayaan itu diperoleh walaupun terdapat ramai pengundi khususnya anak muda yang tidak dapat pulang mengundi di DUN berkenaan akibat pelbagai masalah berbangkit.
“Kita dapat mempertahankan kekuatan kita walaupun dalam keadaan apabila kita lihat ramai pengundi-pengundi muda tidak pulang.
“Ramai yang mengadu bahawa mereka tidak dapat cuti, mereka baru balik berhari raya. Ada yang kata mereka dah habis duit untuk balik, jadi tak sanggup nak balik sebab masalah kewangan.
“Ada anak-anak yang baru melanjutkan pengajian, jadi ibu bapa mereka menyarankan supaya mereka tidak pulang sebab baru saja balik beraya.
“Walau apapun insya-Allah, ini satu perkembangan dan momentum yang baik untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya kepada media, di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting turut menyentuh mengenai penggunaan jentera kerajaan oleh pihak lawan sepanjang kempen PRK berkenaan.
“Kita bukan sahaja berdepan dengan jentera kerajaan negeri, tetapi jentera Kerajaan Pusat juga turun membantu dan sebagainya dalam keadaan kita sebagai pembangkang.
“Namun kita dapat undi yang kita rasa membanggakan dan tidak dapat memberikan kemenangan mudah kepada pihak Barisan Nasional.
“Kami turun untuk membongkar tentang apa yang sedang berlaku di Ayer Kuning kerana ‘teropong halus’ tertumpu di satu-satu tempat, bukan kita nak mengambil isu dan sebagainya.
“Tapi itulah masalah yang rakyat tak boleh suarakan, bila ramai kepakaran yang turun, kita dapat membongkarkan banyak perkara di satu-satu tempat.
“Kita nak bongkarkan ini supaya rakyat dapat menerima perubahan dan kebaikan yang kerajaan boleh berikan untuk rakyat yang selama ini terbeban dengan banyak permara yang kita bongkarkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2025











