Madinah Riadah: Kemudahan sukan siap ikut jadual

Zamakhshari Muhammad
- Advertisement -

KOTA BHARU: “Terdapat tujuh komponen fasiliti yang dirancang, tiga daripadanya sedang dalam pembinaan, sementara empat lagi masih dalam proses perolehan tender,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhammad.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian mengulas mengenai perkembangan Madinah Riadah yang menjadi lokasi utama penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXIII 2028.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin pembinaan kemudahan sukan di Bukit Merbau, Pasir Puteh dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sebenarnya, pembinaan ketujuh-tujuh komponen ini mempunyai jadual. Stadium contohnya, dijangka siap 23 Februari 2027, dan dijangka paling lewat siap ialah arena tertutup pada 20 September 2027.

“Jadi, mengikut jadual, pembinaan semua tujuh komponen tersebut akan siap sebelum berlangsungnya temasya SUKMA 2028 yang dijadualkan pada pertengahan atau suku ketiga tahun 2028,” katanya.

Bercakap pada podcast Zon Anak Muda (ZAM) semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu berkata, pihaknya turut merangka persediaan bagi menghadapi SUKMA di Selangor pada 2026.

“Insya-Allah, pada bulan Mei atau Jun nanti, kita akan mengadakan retreat untuk menyusun semula barisan kejurulatihan dan menetapkan sasaran pingat pada SUKMA di Selangor pada tahun hadapan.

“Kita sudah ada pelan strategik 10 tahun (2021–2030) yang merangkumi tiga peringkat pembangunan atlet, bermula dari peringkat bakat, pelapis, hingga ke peringkat elit sebagai persediaan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 27/4/2025

- Advertisement -