
TAPAH: Sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran mula dibuka jam 8 pagi hingga 6 petang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning.
Sebanyak 31,315 pengundi berdaftar dijangka akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.
Berdasarkan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca cerah diramal pada sebelah pagi, manakala ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Ustaz Abdul Muhaimin Malek dan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir serta calon PSM Bawani KS.
Ustaz Muhaimin akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Ayer Kuning, Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.
Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.
Pada PRK itu, 601 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan 1,114 anggota polis akan bertugas bagi membantu melancarkan proses pengundian.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 26/4/2025











