Bantah RUU URA demi pertahan hak Melayu

Ahli Jawatankuasa Bertindak RUU Akta Pembaharuan Semula Bandar.
- Advertisement -

Cadangan penggubalan RUU Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang difahamkan akan dibentangkan di Parlimen oleh Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menarik perhatian kami untuk melihat dan meneliti kesan yang akan berlaku, lebih-lebih lagi apabila Nga Kor Ming mengumumkan telah mengambil contoh dan khidmat perundingan ‘Housing Development Board Singapore’(HDB) bagi menjayakan pembaharuan semula bandar merujuk kepada cadangan di 139 kawasan di Kuala Lumpur yang dikenal pasti kawasan setinggan, kediaman berstrata dan usang untuk program pembaharuan semula bandar melibatkan keluasan tanah sebanyak 1,372 ekar.

- Advertisement -

Perancangan ini sangat dikuatiri mengguna pakai konsep pemilikan perumahan di Singapura sebagai agenda migrasi penempatan warga asing dalam pemilikan hartanah dengan harga bebas di luar kemampuan orang Melayu, seterusnya ia akan meminggirkan rakyat tempatan yang miskin terutama orang Melayu di bandar-bandar dalam program pembangunan semula yang merupakan program utama pembaharuan semula bandar.

Di atas kekuatiran, kebimbangan dan ancaman tersebut, kami NGO/NGI, Para Profesional, orang muda, masyarakat awam rakyat Malaysia bersama dokongan parti-parti politik yang prihatin dengan rasa bertanggung jawab melihat dan meneliti penggubalan RUU URA menjadi ancaman terhadap masa depan orang Melayu bandar, walaupun kelihatan nampak dengan tujuan baik dan membina, bagai fatamorgana.

Sayugia itu kami telah membentuk Jawatankuasa Bertindak RUU URA dan telah mengadakan Persidangan Meja bulat pada 29 Jun 2024 di Hotel Grand Barakah, Ampang Selangor. Hasil persidangan tersebut, kami membuat ketetapan untuk menyatakan dengan penegasan bantahan dan mencadangkan suatu resolusi terhadap penggubalan RUU URA. Di bawah ini, kami menjelaskan bantahan dan resolusi cadangan yang kami suarakan dalam dua bahagian utama seperti berikut:-

Bahagian 1: Bantahan kami Jawatankuasa Berfindak

Pertama: Pengurangan Ambang Persetujuan Menyalahi Undang-Undang Penggubalan RUU ini mengandungi cadangan peruntukan pengurangan ‘Ambang Persetujuan’ kepada 51%, 75% dan 80% berbanding 100% sedia ada, yang mana ia bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, Hak terhadap harta. (1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. (2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai, dan ianya bertentangan dengan Akta Hak Milik Strata serta mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada yang kesemuanya
menetapkan 100% persetujuan pemilik asal sebagaimana kehendak peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kedua: Menzalimi minoriti pemilik asal

Pengurangan ambang persetujuan ini, boleh menyebabkan pihak minoriti diabaikan haknya dengan zalim, misalnya, bila mana akta ini memperuntukan ambang persetujuan 80% yang membolehkan pemaju meneruskan pembangunan semula tanpa memperdulikan 20% yang tidak bersetuju, Contoh kes yang berlaku di Pembangunan Kampung Kerinci di mana 35% keluarga Melayu yang tidak setuju dengan cara pembangunan dijalankan, terus tersisih, dan begitu juga Pembangunan Bandar Seri Sendayan(BSS), bila mana pemilik tanah Felda
Sendayan yang tidak setuju, dizalimi dengan pengambilan tanah secara paksa dan kehilangan tanah tanpa pampasan yang sewajarnya, dan ini tidak mustahil akan berulang.

Ketiga: Tiada keterjaminan pemilikan kediaman penduduk Melayu bandar

Tiada Jaminan hak penduduk asal yang kebanyakannya orang Melayu Bumiputra bandar dipertahankan, dari kepesatan pembangunan yang dijalankan, apabila ianya dibangunkan dengan penambahan plot ratio atau densiti berlipat kali ganda dari bilangan unit kediaman asal dengan harga diluar kemampuan. Contohnya di sesuatu kawasan yang mengandungi 500 unit kediaman yang majoritinya orang Melayu dibangunkan semula dengan membina 5000 unit kediaman, 500 pemilik asal mungkin diberi rumah semula dengan saiz dan kondisi lebih baik, tetapi bagaimana dengan baki 4500 unit lagi dengan harga bebas yang tidak mampu dimiliki oleh masyarakat tempatan terutama orang Melayu Bumiputra, sebaliknya akan bertukar kepada pemilikan bukan Melayu dan penempatan warga asing serta golongan kaya dan hartawan.

Keempat: Harga bebas di luar kemampuan pribumi Melayu/Bumiputra

Pemaju cenderung untuk mengaut keuntungan, dengan sengaja membina kediaman Harga bebas diluar kemampuan pribumi Melayu/Bumiputra menyebab berlaku lambakan koata rumah tidak terjual, dan pemaju akhirnya mengambil kesempatan menjual kepada bukan Melayu termasuk warga asing dengan alasan koata tidak terjual dan mengambil konsep Malaysia is My Second Home (MMH)’ lebih dahsyat lagi sekiranya dengan adanya tawaran kewarganegaran yang wajar dihentikan kerana boleh megancam kedaulatan negara.

Kelima: Mengancam peratusan demografi dan kuasa politik orang Melayu

Keadaan ini sudah semestinya menyebabkan peratusan demografi orang Melayu bandar mengecil di kawasan tersebut dari asalnya hampir 100% menjadi 10% sahaja dan ini mengancam kuasa politik orang Melayu yang sudah menjadi minoriti sebagaimana apa yang berlaku di Singapura dan Pulau Pinang. Apakah kita hanya membiarkan agenda TERSEMBUNYI secara halus dan terancang melalui pembangunan semula bandar ini, tanpa berbuat sesuatu.

Keenam: Pembangunan sedia ada tidak terkawal, tanpa kawalan harga

Pembangunan semula tanpa Akta Pembaharuan Semula Bandar pun terus berjalan seperti pembangunan semula di Razak Mansion, Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum dan lain-lain kawasan di Kuala Lumpur ini serta di bandar-bandar utama yang lain
mengguna pakai peruntukan akta-akta yang sedia ada dan plan-Malaysia sudah menyediakan Garispanduan Pembangunan Semula Bandar dengan penetapan 100% persetujuan pemilik asal. Walau bagaimanapun tiada kawalan pemajuan yang dijalankan menyebabkan harga bebas yang tinggi tanpa mengambil kira kemampuan Pribumi Melayu Bumiputra untuk memilikinya, di mana ianya telah merekodkan kawasan warisan orang Melayu hilang dan orang Melayu bandar yang miskin telah terpingir.

Ketujuh: Pengusiran orang Melayu bandar dan tergadainya Tanah Rezab Melayu

Kes di Kg. Sungai Baru sebagai contoh jelas menunjukkan tanah berstatus Penempatan Melayu/Malay Agreculture Settlement(MAS) dengan Geran Title 1550 bertarikh 12 Febuari 1932 seluas 9 ekar yang tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu berisiko terjual
kepada syarikat bukan Melayu di mana penduduk asal hanya diperuntukan 2 ekar kediaman pangsa berstrata dan 7 ekar lagi dimiliki oleh pemaju untuk pembinaan kediaman mewah. 35% pemilik yang tidak setuju dengan cadangan pembangunan semula telah diusir dengan memotong air dan api. Kezaliman pihak pemaju dan pihak berkuasa terus berlaku dengan kejam, tanpa belas ihsan dengan menggunakan alasan pembangunan, apatah lagi sekiranya URA diwujudkan.

Bahagian 2: Syarat pembangunan

Penegasan: Tidak menolak pembangunan dengan syarat

Adalah ditegaskan, bahawa kami tidak sesekali menolak pembangunan. Kami juga tidak sesekali mahu melihat kediaman terbiar lusuh dan usang, pemandangan buruk dan tidak menarik, kediaman yang tidak berdaya maju, tidak ekonomi, infrastruktur yang sudah tidak
sesuai lagi dan bangunan yang tidak selamat diduduki. Bahkan kami bersedia memberi sokongan pembaharuaan semula bandar untuk meningkatkan kuailiti kediaman tempat tinggal dengan syarat berikut:-

  1. Pihak agensi kerajaan atau GLC sendiri yang akan mengetuai pelaksanaan pembaharuan semula bandar dengan berimejkan tempatan dan perlu memiliki majoriti pegangan dalam sebarang usaha sama bersama pemaju tempatan, tanpa pegangan asing, demi untuk menjamin kepentingan pemilik asal dan rakyat terpelihara, memandangkan kebanyakann tanah-tanah terlibat adalah tanah milik
    Kerajaan, Tanah Rezab Melayu, Tanah Anugerah dan Tanah wakaf.
  2. Mengambil kira persetujuan seluruh pemilik asal dengan segala perundingan yang adil dan telus sebagai rakan kongsi dengan nilai pampasan perlu mengambil kira nilai pulangan pembangunan baru yang memadai mengikut undang-undang merujuk Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, supaya pemilik asal terbela.
  3. Penduduk asal tidak dipindahkan ke tempat lain dan dikembalikan hartanah di tapak yang dibangunkan semula dengan nilai sama dengan yang dipasarkan.
  4. Apa-apa kos berkaitan tanah, pembinaan perumahan, perpindahan dan penempatan semula hendaklah ditanggung oleh pemaju.
  5. Kerajaan mengadakan Dasar Pembaharuan Semula Bandar yang menetapkan;

i) Harga yang mampu dimiliki

Harga yang mampu dimiliki oleh rakyat tempatan terutama Melayu Bumiputra bukan mengikut kehendak pemaju mengaut keuntungan
berganda. Ianya juga bagi mengelakkan lambakan rumah tidak terjual dan diambil kesempatan oleh pemaju untuk dijual kepada warga asing.

ii) Agihan kuota mengikut komposisi kaum

Sesuatu Pembangunan pada satu-satu kawasan baru atau lama hendaklah mengandungi rumah yang mampu dimiliki dan mengagihkan koata mengikut komposisi kaum rakyat Malaysia iaitu Pribumi Melayu/ Bumiputra-70%: Cina23%: India-6.7%: lain-lain-0.3%. Koata 30% yang diambil dari dasar ekonomi baru dijadikan amalan dalam agihan koata perumahan semenjak puluhan tahun, adalah tidak mengikut hak pemilikan kediaman semua rakyat dan hendaklah ditukar mengikut komposisi kaum rakyat Malaysia. Apalah sangat hak agihan koata mengikut komposisi kaum berbanding pengorbanan bangsa Melayu semenjak 350 tahun dahulu tidak dapat diukur berapa luasnya dan berapa banyak tersenarai jika hendak dihitung untuk migrasi bangsa asing di Tanah Melayu ini.

iii) Menubuhkan Lembaga Amanah Perumahan Melayu Bumiputra

Rumah yang tidak terjual hendaklah diserahkan kepada entiti Kerajaan atau Kerajaan menubuhkan Lembaga Amanah Perumahan Melayu Bumiputra untuk ditawarkan kepada Melayu Bumiputra bila mana berkemampuan kemudian untuk memilikinya .

iv) Pembangunan Tanah Rezab Melayu

Pembangunan melibatkan Tanah Rezab Melayu, hendaklah dikembalikan 100% kepada orang Melayu dan mengekalkan status Tanah Rezab Melayu, yang tidak boleh dijual kepada bukan Melayu selaras dengan status yang difatwakan/diwartakan.

v) Masa depan Tanah Rezab Melayu dan Tanah Wakaf dipelihara

Masa depan Tanah Rezab Melayu dan Tanah Wakaf perlu diambil perhatian khusus apabila terlibat dengan pembangunan semula bandar. Sebarang masalah yang berbangkit hendaklah dirundingkan bersama Lembaga Tanah Rezab Melayu dan Wakaf yang perlu ditubuhkan.

  1. Pihak kerajaan, disarankan supaya menyediakan database kediaman mengikut pecahan kaum bagi setiap Bahagian/Kawasan Pilihan Raya Negeri dan Persekutuan termasuk kawasan perumahan baru seperti di Kampung Nakhoda, Kampong Kerinci, Kampong Pantai Dalam, Kawasan Sentul Raya, Kawasan Desa Kota, Kawasan Kayu Ara, Kawasan Kepong, Kawasan Sungai Buluh, Kawasan Bandar
    Utama, Kawasan-kawasan Bandar Satelit seperti The Cove, di seluruh Malaysia, hendaklah diperincikan demografi komposisi penduduknya bagi tatapan umum.
  2. Kerajaan hendaklah memantau dan menyelaras peratusan pembeli rumah, hartanah yang dibangunkan oleh pemaju swasta, supaya mengambil kira social impak dan demografi penduduk di sesuatu kawasan pembangunan, bagi memastikan pelaksanaannya mematuhi koata yang ditetapkan.
  3. Kerajaan wajar untuk melihat dan mendengar segala isu permasalahan yang dibangkitkan dan melaksanakan segala saranan dan cadangan kami sekiranya benar RUU Akta Pembaharuan Bandar ini untuk membela golongan miskin dan tidak meminggirkan pribumi Melayu/Bumiputra serta menamatkan penderitaan Masyarakat Melayu yang tertindas tanpa disedari selama ini.

Akhirnya kami memberi ingatan kepada kerajaan memerintah, jangan ada sesiapa yang cuai dalam menjaga kepentingan hak rakyat Malaysia terutama tunggak bangsa Melayu Bumiputra sebagai pribumi di Tanah Melayu ini, sebagaimana termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kami juga menuntut dikembalikan peruntukan koata orang Melayu mengikut komposisi kaum, pemilikan Tanah Rezab Melayu yang diambil dikembalikan, dipertahankan dan ditambah demografi orang Melayu bandar sebagai
penentu jaminan kuasa politik. Sesungguhnya hanya dengan terpeliharanya kedudukan dan hak keutuhan bangsa Melayu ini, yang boleh menjamin kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk berbilang kaum di negara kita Malaysia ini.

Jawatankuasa Bertindak RUU – Akta Pembaharuan Semula Bandar

- Advertisement -