
TAPAH: PERIKATAN NASIONAL (PN) telah membuat pendedahan eksklusif mengenai pembuangan sisa najis babi (efluen) yang tidak dirawat terus ke dalam Sungai Bidor hingga mengakibatkan pencemaran air dan bau busuk.
Pengerusi Jawatankuasa Induk PN PRK N.48 DUN Ayer Kuning, Datuk Ustaz Idris berkata, hal itu bukan sahaja bercanggah dengan penjelasan kerajaan dalam Persidangan Dewan Negeri, malah akibatnya mengganggu kehidupan penduduk setempat.
Bagi mengesahkan pencemaran telah berlaku, pihaknya telah mengambil sampel dan menghantar ke makmal swasta dengan ujian yang telah dibuat adalah Keperluan Oksigen Kimiahayat (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD) dan ‘Total Qualifom’.
“Ujian ini telah mengesahkan bahawa efluen yang dilepaskan ke Sungai Bidor ini adalah tercemar dan tidak dirawat. Hasil keputusan ini sangat mengecewakan dan mendukacitakan.
“Kerana Sungai Bidor adalah sumber air kedua dan tempat rekreasi penduduk setempat serta pengunjung dari luar. Malahan ketika krisis air pada awal tahun ini, penduduk Tapah telah menggunakan air sungai sebagai tujuan harian.
“Bayangkan mereka telah mandi dengan air babi. Ambil wuduk dengan air babi. Minum dengan air babi dan mandi jenazah dengan air babi ketika itu,” ujar beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurut beliau, pada 16 April baru-baru ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) PN telah membangkitkan isu lambakan ladang babi baik berlesen mahupun yang haram di kawasan DUN Ayer Kuning dan telah menjadi mimpi buruk kepada penduduk tempatan sejak sekian lama.
Katanya, ADN terlibat telah menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Perak berhubung dengan isu ini, namun amat mengecewakan apabila MB dan Exco Pertanian dari Barisan Nasional (BN) tidak mengendahkan isu besar ini.
Sebaliknya mereka jelas beliau, menyerahkan kepada Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Orang India, Sivanesan Achalingam untuk menjawab, malah Exco sama turut menjawab isu tersebut semasa sesi penggulungan.
“Sivanesan menyatakan bahawa semua ladang babi negeri Perak mematuhi Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1993 dan Kaedah-kaedah Pengawalan Penternakan Babi 2009. Namun kenyataan ini bercanggah dengan situasi sebenar lapangan,” ujarnya.
Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai dan Naib Presiden PAS turut memetik peruntukan Enakmen itu pada Bahagian 6 Seksyen 21 berhubung adalah kesalahan bagi pemegang lesen melakukan tindakan berkaitan.
“Membuang, meluahkan atau melepaskan sisa babi yang tidak diolah ke dalam atau ke atas mana-mana sungai, tasik atau laut,” ujar beliau memaklumkan antara ditinjau adalah pelepasan efluen dari ladang penternakan babi di Kampung Poh, di sini.
Jelas beliau, walaupun ladang itu berada di sempadan DUN Air Kuning, tetapi aliran sungai tercemar dari kawasan itu mengalir masuk ke DUN Air Kuning dan menjadi sumber air kedua kepada penduduk setempat.
Lebih membimbangkan katanya, apabila Sivanesan pada semalam turut memaklumkan bahawa ladang babi di Kampung Tanjung Keramat berada 2.5 kilometer dari penempatan dan memenuhi syarat lesen yakni jarak minimum 200 meter.
“Namun realitinya ladang babi berdekatan Kampung Poh, terle 140 meter dari penempatan, malah kolam pengolahan efluen terletak bersebelahan dengan rumah penduduk. Malah timbul banyak persoalan lain.
“Adakah pembinaan ladang ini dan infrastrukturnya termasuk kandang, sistem saliran dan sebagainya mematuhi kehendak Garis Panduan Amalan Perladangan Babi Yang Baik (GAHP)?
“Serta pengurusan ladang ini mematuhi Garis Panduan Kawalan Pencemaran dari Aktiviti Penternakan Babi yang diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada November 2014?” soalnya.
Dedah beliau lagi, kolam pengolahan ladang ini juga berada bersebelahan dengan rumah penduduk, turut didapati melepaskan efluen secara berterusan ke dalam Sungai Bidor dan ini bercanggah dengan jawapan Exco.
Sehubungan itu beliau mempersoalkan sama ada kerajaan negeri benar-benar serius menangani isu pencemaran ladang babi sekian lama menghantui rakyat DUN Ayer Kuning atau ia hanya silap mata untuk melindungi ladang babi yang jelas melanggar enakmen berkaitan.
“Jika dilihat kepada pendedahan ini Kerajaan Negeri Perak sememangnya mengutamakan penternak babi yang melanggar undang-undang daripada rakyat DUN Ayer Kuning.
“Justeru rakyat DUN Air Kuning diseru untuk memberi sokongan penuh kepada calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek untuk membuktikan komitmennya dalam memperjuangkan isu rakyat sehingga berjaya dibawa ke Dewan Negeri.
“Insya-Allah jika diberikan mandat Ustaz Abdul Muhaimin Malek akan terus mendesak Kerajaan Negeri Perak untuk memindahkan ladang bagi berlesen yang berada di kawasan kampung Melayu dan menutup serta merta semua ladang babi haram.
“Juga melaksanakan sistem ladang tertutup dan ‘zero discharge’ sepenuhnya sebelum akhir tahun 2025. Kami memberi tempoh 24 jam kepada Kerajaan Negeri Perak untuk menjawab isu ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/4/2025













