Perlis serius tangani isu vape dalam kalangan pelajar

Muhammad Azmir Azizan
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengambil serius gejala penyalahgunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah yang dilihat semakin membimbangkan dan bercanggah dengan prinsip syariat Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan, berkata Islam meletakkan penjagaan nyawa dan akal sebagai antara lima perkara utama dalam maqasid syariah yang wajib dipelihara.

“Kaedah fekah menyebut, kemudharatan mesti dihapuskan. Vape ini jelas memudaratkan. Kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi mengekang penularan vape terutama di sekolah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menyarankan agar program Jom Solat dan Jom Baca al-Quran diperluas ke semua sekolah sebagai salah satu usaha membina kekuatan dalaman pelajar.

Terdahulu, seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Kangar yang diserang sawan dan mulut berbuih selepas dipercayai menghisap vape dalam tandas sekolah pada 21 April lepas.

Pelajar berkenaan dilaporkan tidak sedarkan diri ketika peperiksaan berlangsung dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, memaklumkan lebih 30 premis menjual vape dikenal pasti di negeri ini, dan pemantauan ketat sentiasa dilakukan termasuk di sempadan.

“Kita turut bekerjasama dengan pegawai perhubungan sekolah untuk pastikan pemantauan dalam kalangan pelajar dipertingkat. Banyak kes berlaku tanpa pengetahuan guru dan ibu bapa,” katanya.

Tambah beliau, pihak sekolah juga akan diberi taklimat khas bagi mengenal pasti jenis vape berisiko agar dapat bertindak lebih awal dalam menangani penyalahgunaannya. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

- Advertisement -