
TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek menziarahi Pusat Mengundi Awal di Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, hari ini.
Dalam ziarah tersebut, Ustaz Muhaimin diiringi Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Ustaz Idris Ahmad; Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki.
Beliau turut mengucapkan selamat mengundi kepada semua pengundi awal di DUN Ayer Kuning yang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Saya ucapkan selamat mengundi semua,” katanya ringkas dengan terdahulu beliau bersarapan pagi di Warung Nasi Lemak Bib di Unit Daerah Mengundi (UDM) Simpang Tiga.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, peratusan keluar mengundi bagi Undi Awal sehingga jam 12 tengah hari bagi PRK N.48 Ayer Kuning mencecah 90.40 peratus.
Dua pusat pengundian awal dibuka serentak seawal jam 8 pagi iaitu di Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 PGA Bidor dan Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.
Proses pengundian awal membabitkan tiga saluran dengan penyertaan seramai 500 anggota polis dan pasangan mereka. Pusat pengundian di Batalion 3 PGA ditutup jam 5 petang, manakala di IPD Tapah tamat jam 12 tengah hari.
Seramai 82 anggota polis pula akan mengundi secara pos.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN); calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abd Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
PRK ini diadakan pada 26 April berikutan kekosongan kerusi selepas penyandangnya, Ishsam Shahruddin, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – HARAKAHDAILY 22/4/2025











