PMINT: Budaya kerja cemerlang kunci kejayaan

Samsuri pada gimik pelancaran logo Sambutan 60 Tahun Penubuhan PMINT di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) disarankan untuk terus memperkukuh keupayaan modal insan sebagai tonggak kepada transformasi organisasi dan kecemerlangan masa depan.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kekuatan sebenar sesebuah organisasi terletak pada warganya yang berdaya saing dan berintegriti tinggi.

“PMINT perlu terus meningkatkan keupayaan warga kerjanya dengan membudayakan amalan kerja cemerlang, memperkasakan budaya produktif dan inovatif, berprestasi serta berintegriti dalam memikul tanggungjawab semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Logo Sambutan 60 Tahun Penubuhan PMINT di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Datuk Wan Adnan Wan Derahman.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT berkata, antara cabaran semasa dihadapi PMINT dalam mengimbangi peranan sebagai badan berkanun negeri dan pengendali kepada beberapa syarikat di bawahnya.

“Memang kita berdepan dengan dilema, separuh badan kita, kita melihat adalah anggota penjawat badan berkanun negeri dan di sana ada budaya kerja syarikat-syarikat, anak syarikat dan syarikat pertama.

“Yang perlu mengalami transformasi ke arah budaya kerja yang lebih profesional dan sesuai ataupun at par paling tidaknya dengan perkembangan operasi sesebuah syarikat korporat.

“Ini adalah cabaran yang perlu kita laksanakan bukan sekadar merasakan sebahagian diri kita ini adalah kakitangan kerajaan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, dalam suasana dunia yang semakin mencabar, PMINT dan sembilan anak syarikatnya diharap mampu menerajui pelbagai inisiatif baharu dalam sektor hartanah, pelancongan dan perindustrian untuk menyokong agenda pembangunan negeri.

“Saya penuh yakin bahawa PMINT bersama dengan 9 anak syarikatnya, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, saban hari saban waktu, ahli-ahli lembaga melihat prestasi anak syarikat, ada yang turun naik, ada yang merah, ada yang hijau, silih berganti.

“Tidak mengapa, yang penting ialah kita terus berusaha, saya percaya bahawa semua akan mampu untuk membawa perubahan yang positif dalam pembangunan negeri Terengganu.

“(Iaitu) Dengan sentiasa mengambil inisiatif-inisiatif baru dalam menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan, mempelbagaikan pembangunan di dalam sektor hartanah, pelancongan dan perindustrian dalam suasana dunia yang semakin mencabar pada hari ini, tambah-tambah pada tempoh sehari dua ini,” katanya.

Sambutan ulang tahun ke-60 PMINT yang bertemakan ‘Membina Masa Hadapan’ turut diserikan dengan pantun penghargaan oleh Menteri Besar, melambangkan sokongan penuh terhadap warga kerja lama dan baharu dalam mendepani cabaran akan datang.

Pergi mencari ikan gelama,
Terjumpa pula ikan aya,
Kepada warga PMINT baharu dan lama,
Setinggi tahniah dari saya.
 
Singgah di dahan si burung belatuk,
Dahan yang kuat laginya kukuh,
60 tahun PMINT dibentuk,
Semoga terus kekal utuh. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

- Advertisement -