Lawatan kerja ke Jepun: Kukuh hubungan strategik

JK Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia

Kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Jepun
- Advertisement -

PENGERUSI Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia, Datuk Ahmad Amzad Hashim bersama delegasi Parlimen Malaysia yang terdiri daripada Ahli Parlimen Padang Serai, Dato’ Azman Nasrudin; Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien; Ahli Parlimen Beruas, Dato’ Ngeh Koo Ham; Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee serta diiringi oleh wakil Sekretariat Jawatankuasa Pilihan Khas, Dr Siti Aisyah, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun dari 14 hingga 18 April 2025.

Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun, serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang alam sekitar, sains, teknologi, dan perladangan.

Delegasi Malaysia telah mengadakan pertemuan rasmi dengan pemimpin Parlimen Jepun, agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan organisasi berkaitan, serta melawat fasiliti teknologi dan penyelidikan yang berperanan penting dalam bidang kepakaran jawatankuasa.

- Advertisement -

Berikut rangkuman aktiviti dari 14 hingga 18 April 2025:

Tokyo, 14 April

● Delegasi tiba di Tokyo. 

Shibuya, Tokyo, 15 April – Kedutaan Besar Malaysia di Jepun

● Kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Jepun. Dalam sesi ini, delegasi telah diberi taklimat menyeluruh berkenaan perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Jepun serta usaha berterusan pihak kedutaan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

● Kunjungan ini membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang tumpuan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, terutamanya berkaitan inovasi teknologi, kelestarian dan pembangunan mampan.

Nagatacho, Tokyo, 15 April – Bersama Pemimpin JMA

● Pertemuan bersama pemimpin Japan-Malaysia Parliamentary Friendship Association dan wakil Japan-Malaysia Association (JMA). 

● Pertemuan ini menjadi wadah penting dalam membincangkan potensi kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam bidang pelaburan, teknologi, pendidikan serta pembangunan mampan yang berkait langsung dengan bidang tumpuan Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia.

Aomi, Tokyo, 15 April – Lawatan ke AIRC

● Lawatan kerja rasmi ke Jepun dengan kunjungan ke Artificial Intelligence Research Center (AIRC), salah satu pusat penyelidikan terkemuka di bawah National Institute of Advanced Industrial Science and Technology (AIST).

● Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk memahami secara langsung pendekatan Jepun dalam membangunkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemacu penyelesaian kepada pelbagai cabaran sosio-ekonomi termasuk isu penuaan populasi dan kekurangan tenaga kerja, selain meningkatkan daya saing industri dan memacu agenda kelestarian negara.

● Dr Yasuhiro Katagiri, Pengarah Pusat Penyelidikan AI, membentangkan usaha AIST dalam menghasilkan teknologi AI yang beretika dan berpaksikan nilai manusia, dengan aplikasi meluas dalam sektor kesihatan, automasi industri, tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti pintar.

● Turut dikongsikan ialah penyelidikan oleh Dr Toru Kouyama, Ketua Kumpulan Penyelidikan Perkhidmatan Geoinformasi, berkaitan penggunaan AI dalam mengesan loji janakuasa solar melalui imejan satelit, satu teknologi strategik yang menyumbang kepada pemantauan tenaga bersih dan perancangan bandar mampan.

● Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama penyelidikan dua hala antara Malaysia dan Jepun, termasuk dalam bidang teknologi hijau, pertanian pintar dan pembangunan kapasiti.

● Delegasi Malaysia melihat pendekatan Jepun yang sistematik dan berteraskan nilai kemanusiaan sebagai model rujukan penting dalam membentuk ekosistem AI Malaysia yang inklusif, selamat dan berdaya tahan.

Tokyo, 16 April – Kunjungan ke CSTI

● Kunjungan hormat ke Council for Science, Technology and Innovation (CSTI), Pejabat Kabinet Jepun. CSTI merupakan salah satu daripada empat majlis utama di bawah struktur pentadbiran Pejabat Kabinet, yang menggantikan Council for Science and Technology Policy (CSTP).

● Delegasi telah menerima taklimat terperinci berkenaan mandat dan tanggungjawab utama CSTI yang meliputi penggubalan dasar menyeluruh bagi memajukan bidang sains, teknologi dan inovasi selaras dengan matlamat nasional.

● Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah Society 5.0, iaitu satu konsep masa depan yang memperkenalkan visi ‘Super Smart Society’ melalui pengintegrasian teknologi-teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) ke dalam setiap aspek kehidupan masyarakat.

● Pendekatan ini bertujuan bukan sahaja untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing industri, tetapi juga menyasarkan penyelesaian mampan terhadap cabaran sosial yang kompleks.

● Program Strategic Innovation Promotion Program (SIP) pula dibentangkan sebagai satu kerangka rentas kementerian yang memacu inovasi secara menyeluruh, bermula daripada penyelidikan asas sehingga kepada aplikasi praktikal dan pengkomersialan. Pendekatan menyeluruh ini membolehkan pelaksanaan strategi inovasi secara lebih sistematik dan bersepadu, dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

● Dari segi struktur pentadbiran, CSTI dipengerusikan oleh Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, dan dianggotai oleh menteri-menteri berkaitan serta pakar-pakar yang dilantik daripada pelbagai bidang. Komposisi ini membolehkan pendekatan holistik dalam proses penggubalan dasar, yang merangkumi pandangan daripada pembuat dasar, komuniti akademik serta pakar teknikal.

● Bagi Malaysia, inisiatif seperti Society 5.0 memberi inspirasi dan panduan strategik dalam membentuk rangka kerja kebangsaan yang menyepadukan teknologi canggih ke dalam pembangunan masyarakat.

● Lawatan ini turut membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama dua hala yang lebih erat dalam bidang sains dan teknologi, serta menyesuaikan amalan terbaik Jepun ke dalam konteks tempatan bagi memperkukuh dasar inovasi negara, memacu transformasi digital dan menyokong agenda pembangunan mampan.

Tokyo, 16 April – Kunjungan ke Nippon Koei

● Kunjungan ke Nippon Koei, sebuah syarikat kejuruteraan dan perundingan teknikal terkemuka Jepun yang berpengalaman luas dalam pembangunan sistem kejuruteraan lestari, mobiliti pintar, serta pengurusan sumber air dan bencana.

● Delegasi disambut oleh pihak pengurusan kanan sebelum menerima taklimat menyeluruh meliputi kepakaran strategik syarikat termasuk pemantauan alam sekitar dan pelaksanaan Balanced Scorecard (BSC), tenaga boleh baharu dan sistem bateri, teknologi satelit untuk pengurusan bencana, serta strategi kawalan banjir.

● Delegasi turut diberi penjelasan mengenai inovasi terkini dalam mencegah hakisan tebing sungai, khususnya penggunaan semburan cecair Biological Soil Crust (BSC) yang membentuk lapisan pelindung biologi pada tanah terdedah, satu penyelesaian yang berpotensi tinggi untuk diguna pakai di Malaysia.

● Perbincangan turut menyentuh kerjasama sedia ada dan yang sedang dirintis bersama NAHRIM dan Sarawak Energy Berhad (SEB), termasuk pemantauan takungan empangan seperti di Bakun serta inisiatif pengurusan bencana air.

Tokyo, 16 April – Lawatan ke Muzium Parlimen Jepun

● Lawatan ke Muzium Parlimen Jepun, sebuah institusi bersejarah yang terletak berhampiran bangunan National Diet of Japan.

● Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk memahami sejarah perkembangan sistem perundangan Jepun, termasuk struktur Dewan Perwakilan dan Dewan Kaunselor, serta proses penggubalan dasar dan undang-undang di bawah sistem demokrasi berparlimen Jepun.

● Menariknya, delegasi turut berpeluang mengikuti demonstrasi interaktif dan penjelasan langsung mengenai susun atur bilik persidangan serta peranan setiap anggota legislatif dalam sidang Parlimen. Ini termasuk simulasi duduk di tempat wakil rakyat Jepun dan taklimat mengenai protokol serta tatacara perbahasan di Dewan.

● Lawatan ini bukan sahaja memperkaya pemahaman tentang sejarah institusi Parlimen Jepun, tetapi turut memperkukuh hubungan diplomasi legislatif antara Malaysia dan Jepun melalui perkongsian ilmu serta amalan terbaik.

Tokyo, 16 April – Lawatan ke National Diet of Japan

● Lawatan rasmi ke National Diet of Japan serta mengadakan sesi libat urus bersama Kondo Shoichi, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Dewan Perwakilan Jepun.

● Perbincangan kami menjurus kepada pelbagai isu sejagat  termasuk perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti, pembangunan bandar mampan, serta pendekatan undang-undang dalam menyokong peralihan kepada tenaga boleh baharu dan ekonomi rendah karbon.

● Datuk Ahmad Amzad turut menyatakan bahawa Malaysia kini sedang mempergiat usaha ke arah penggubalan undang-undang khas bagi Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) sebagai salah satu mekanisme mitigasi pelepasan karbon jangka panjang. Meskipun Rang Undang-Undang (RUU) CCUS peringkat persekutuan masih dalam proses perundangan, beberapa negeri seperti Sarawak telah pun melangkah ke hadapan dalam membangunkan kerangka peraturan mereka sendiri.

● Datuk Amzad juga menekankan bahawa bidang seperti CCUS dan tenaga bersih bukan sahaja penting dari sudut alam sekitar, malah menawarkan potensi besar dari segi pelaburan dan pembangunan ekonomi masa depan yang mampan.

● Beliau amat menghargai kesediaan Kondo Shoichi untuk berkongsi pengalaman serta komitmen beliau terhadap dialog antara Parlimen yang konstruktif dan berwawasan. Lawatan ini menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala yang lebih erat serta kerjasama strategik dalam pembangunan dasar persekitaran antara Malaysia dan Jepun.

Tsukuba, 17 April – Lawatan ke NIED

● Lawatan rasmi ke Jepun dengan kunjungan ke National Research Institute for Earth Science and Disaster Resilience (NIED).

● Lawatan ini memberi pendedahan kepada pendekatan Jepun dalam memperkukuh daya tahan bencana melalui penyelidikan saintifik, sistem pemantauan geofizik, serta pembangunan teknologi amaran awal gempa bumi, tsunami, tanah runtuh dan banjir.

● Delegasi turut berpeluang melihat sendiri demonstrasi sistem amaran kecemasan, kemudahan pemantauan bencana bersepadu serta kaedah komunikasi risiko yang digunakan ketika berlakunya bencana alam berskala besar di Jepun.

● Penekanan turut diberikan kepada keperluan kerjasama rentas agensi dan pelaksanaan sistem tindak balas berpusat, satu pendekatan yang sangat relevan untuk Malaysia perhalusi bagi memperkukuh kerangka pengurusan bencana nasional, terutama dalam menghadapi impak perubahan iklim.

● Sebagai sebahagian daripada lawatan ke National Research Institute for Earth Science and Disaster Resilience (NIED), delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi Alam Sekitar, Sains dan Perladangan telah menyertai sesi demonstrasi berskala besar berkaitan pengurusan risiko banjir akibat hujan lebat dan taufan.

● Delegasi dibawa ke fasiliti khas NIED yang dilengkapi dengan sistem pancuran hujan buatan, berupaya meniru senario hujan ekstrem yang sering menjadi pencetus kepada banjir kilat dan gangguan infrastruktur. Fasiliti ini turut digunakan dalam kajian tanah runtuh dan kestabilan cerun, namun demonstrasi kali ini memberi tumpuan khusus kepada keberkesanan sistem kawalan banjir dan tindak balas kecemasan.

● Melalui pengalaman langsung ini, delegasi dapat menilai keupayaan pendekatan berasaskan sains dan teknologi tinggi dalam membentuk sistem amaran awal dan strategi mitigasi bencana yang berdaya tahan. Ia merupakan satu model yang amat sesuai untuk diperhalusi dan disesuaikan dengan keperluan pengurusan risiko bencana di Malaysia.

Tsukuba, 17 April – Lawatan ke NARO

● Siri lawatan rasmi ke Jepun diteruskan kunjungan ke National Agriculture and Food Research Organization (NARO), iaitu institusi penyelidikan utama Jepun dalam bidang pertanian dan makanan.

● Delegasi telah disambut oleh Dr Suzuki Takako, Naib Presiden (Penilaian dan Perhubungan Awam), yang telah menyampaikan taklimat menyeluruh mengenai struktur organisasi serta hala tuju strategik NARO dalam menyokong keselamatan makanan, inovasi pertanian mampan dan pembangunan rantaian nilai makanan selaras dengan cabaran perubahan iklim.

● Lawatan ini menjadi medan penting untuk berkongsi pandangan serta menimba inspirasi daripada pendekatan berasaskan penyelidikan yang diterapkan Jepun dalam membina ketahanan sistem makanan dan transformasi sektor agromakanannya.

● Selesai sesi taklimat umum, delegasi turut mengikuti sesi penerangan teknikal serta tinjauan ke dua fasiliti utama di bawah NARO.

● Di Plant Factory, delegasi telah diberi penerangan oleh Isozaki (Pengurus, Bahagian Penyelidikan Produktiviti Rumah Hijau) dan Niki (Penyelaras, Kolaborasi Penyelidikan Bunga).

● Fasiliti ini mempamerkan teknologi penanaman berasaskan persekitaran terkawal yang menggabungkan pencahayaan LED, kawalan suhu dan nutrien pintar bagi meningkatkan hasil tanaman bernilai tinggi secara konsisten dan lestari.

● Seterusnya, di Makmal Inkubasi, delegasi telah dibimbing oleh Encik Yonemaru (Ketua, Pejabat Promosi Data dan Makmal Inkubasi, Pusat Penyelidikan Teknologi Maklumat Pertanian).

● Sesi ini menonjolkan peranan data dan teknologi digital dalam menyokong penyelidik muda serta mendorong pengkomersialan hasil penyelidikan melalui rangka sokongan inkubasi yang sistematik.

● Lawatan ini memberi gambaran langsung kepada delegasi mengenai pelaksanaan inovasi teknologi dalam sektor agromakanan dan bagaimana pendekatan seumpama ini boleh diterokai untuk memperkukuh daya saing dan kemampanan sektor pertanian negara.

Tokyo, 18 April – Bertemu mahasiswa Terengganu

● Selesai menjalankan tanggungjawab rasmi sepanjang siri lawatan kerja ke Jepun, Datuk Ahmad Amzad mengambil peluang untuk bertemu dan meluangkan masa bersama mahasiswa-mahasiswa Terengganu yang sedang menimba ilmu di sini.

● Seramai 13 orang mahasiswa hadir dalam pertemuan santai ini, yang menjadi ruang bermakna untuk bertukar pandangan serta mendengar sendiri aspirasi dan cabaran anak-anak perantauan. Datuk Amzad percaya setiap pengalaman yang mereka lalui di sini akan menjadi nilai tambah yang besar apabila tiba masanya untuk menyumbang kembali kepada tanah air dengan cara yang terbuka, progresif, dan berteraskan jati diri.

*Catatan asal oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, DATUK AHMAD AMZAD HASHIM dan disusun semula oleh Wartawan Harakah Terengganu, NOR HAZWANI NOH Wartawan HarakahHARAKAHDAILY 21/4/2025

- Advertisement -