
KUALA TERENGGANU: Terengganu tidak pernah dibina atas dasar kebergantungan dan tidak sesekali akan tunduk kepada sebarang bentuk penindasan atau kezaliman yang menafikan hak rakyat negeri ini, tegas Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Exco Kerajaan Terengganu itu berkata, negeri itu sentiasa mengutamakan kedaulatan dan maruah dalam setiap aspek pembangunan, sambil memacu usaha menjana hasil secara bermaruah tanpa terlalu bergantung kepada petroleum.
“Terengganu telah membuktikan keupayaan menjana hasil secara progresif menerusi pelbagai sektor baharu termasuk mineral nadir bumi (REE), tenaga hijau serta pelaburan berasaskan kelestarian,” katanya.
Menurut data rasmi, purata hasil negeri menunjukkan peningkatan ketara dari RM189.1 juta (2008–2013), RM234.9 juta (2014–2017) dan RM256.0 juta bagi tempoh 2018–2024.
Namun begitu, tegasnya, kerajaan negeri tetap konsisten dalam menuntut hak royalti petroleum yang masih belum dikembalikan sepenuhnya kepada Terengganu.
“Ini bukan isu baharu, bukan juga satu permintaan. Ia adalah hak yang termaktub dan dijamin. Selagi hak ini belum dilunaskan, selagi itu kita akan terus bersuara tanpa kompromi,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyentuh mengenai keperluan reformasi sistem federalisme agar hubungan negeri dan Persekutuan dikembalikan kepada neraca keadilan sebenar.
“Sekiranya sistem ini terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sempit, ia hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap struktur negara,” katanya.
Tegasnya, negara ini dibina atas semangat perkongsian kuasa dan bukan pemusatan kuasa mutlak, justeru tiada pihak yang patut dinafikan hak hanya kerana berbeza pentadbiran atau prinsip perjuangan.
“Sebagai umat Islam, kita diajar untuk menegakkan kebenaran dan memperjuangkan hak dengan hujah yang jelas, fakta yang kukuh serta tawakal penuh kepada Allah SWT,” tambah beliau.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penegasan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang Dewan Undangan Negeri kelmarin bahawa tuntutan royalti petroleum akan diteruskan demi kepentingan rakyat negeri ini. – HARAKAHDAILY 19/4/2025











