Andalusia-RHB tawar kemudahan tunai umrah

Jalin kerjasama strategik

Dato’ Md Daud Che Ngah (kiri) dan Ishak Othman menunjukkan dokumen MoU kerjasama Andalusia dan RHB Islamic.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) menjalin kerjasama strategik dalam memperkenalkan penyelesaian kewangan patuh syariah yang menyokong pertumbuhan industri pelancongan Islam.

Kerjasama ini merangkumi pelbagai inisiatif utama seperti penggunaan penyelesaian kewangan yang direka khas untuk industri pelancongan, iaitu RHB TravelPlus-i melalui penyediaan kemudahan terminal pembayaran kad kredit/debit yang didatangkan dengan pelan ansuran tanpa kos.

Turut termasuk dalam Kerjasama itu ialah kemudahan QR DuitNow yang didatangkan dengan kotak suara, kadar tukaran asing yang kompetitif dan promosi bersama produk-produk Andalusia melalui saluran rasmi RHB Islamic.

- Advertisement -

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che Ngah berkata, sebagai timbal balik, Andalusia akan mempromosikan produk-produk kewangan RHB Islamic seperti kemudahan pelan ansuran kad kredit tanpa kos kepada para pelanggan serta bakal jemaah haji/
umrah melalui pelbagai platform digital dan acara fizikal.

Menurutnya, ini merupakan buat julung kali Andalusia bekerjasama dengan institusi kewangan Islam dalam memperkenalkan pembayaran pakej umrah/haji dan pelancongan menggunakan kaedah demikian.

“Andalusia dan RHB Islamic juga akan bekerjasama dalam aktiviti promosi bersama dan penyelidikan pasaran untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk pelanggan masing-masing.

“Kami percaya bahawa kerjasama ini membuka lembaran baharu dalam penyediaan kemudahan pelancongan Islam dengan nilai tambah kewangan yang memudahkan perancangan para jemaah dan pelanggan kami. Ini adalah contoh bagaimana institusi kewangan dan agensi pelancongan dapat berganding bahu memperkukuh ekonomi umat,” katanya selepas memeterai MoU itu di reruai Andalusia sempena penganjuran MATTA Fair 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Dalam sidang media, Md Daud melahirkan perasaan syukur dengan komitmen dalam membantu jemaah yang mempunyai kemampuan terbatas untuk menunaikan ibadah berkenaan.

“Kita tahu apabila ada urusan nak pergi umrah, ramai daripada muslimin muslimat ini mereka akan bawa keluarga pergi bersama. Jadi kalau semua berpakat nak pergi, tentulah tidak kecukupan wang.

“Dalam keadaan begitu, tentulah mak dan ayah hanya akan pergi berdua sebab mereka tak mampu nak cari duit, Namun anak-anak pun nak dibimbing menjadi muslim yang baik.

“Mereka pun minta untuk pergi dengan ibu bapa, apatah lagi jika mereka sudah berumur dan memerlukan perhatian dari segi kesihatan. Jadi mereka akan pergi berkumpulan,” katanya.

Pengarah Urusan RHB Islamic, Dato’ Adissadikin Ali dalam kenyataannya berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen pihaknya menyokong ekosistem pelancongan Islamik melalui penyelesaian kewangan patuh syariah yang relevan dan menyeluruh.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Andalusia yang merupakan syarikat pengendali umrah dan pelancongan Muslim terkemuka di Malaysia dengan menawarkan pakej RHB TravelPlus-i yang direka khas bagi menyokong syarikat dalam industri pelancongan.

“Kami juga berbangga menjadi institusi kewangan pertama menyokong Andalusia menawarkan kemudahan melanggan pakej umrah dan pelancongan Muslim secara bayaran ansuran tanpa kos menggunakan kad kredit yang membolehkan pelanggan membuat pembayaran secara fleksibel bersesuaian dengan kemampuan (istito’ah) masing-masing. Semoga usaha ini dapat merancakkan lagi industri umrah dan pelancongan Muslim di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Islam RHB Islamic, Ishak Othman berkata, menerusi kerjasama selama dua tahun dengan Andalusia, pihaknya menawarkan pelan pembayaran mudah’ dengan tempoh pembayaran balik kad kredit selama 18 bulan tanpa kadar faedah.

“Selalunya apaa orang pakai kad kredit, mereka terpaksa membayar kadar faedah sebanyak 1.5 peratus, itu biasa. Tetapi untuk jemaah Andalusia, tiada caj dikenakan.

“Ini akan mempercepatkan mereka pergi (umrah). Program ini khas untuk pemegang kad kredit RHB Islamic yang mereka boleh menikmati kemudahan ini.

“Ini adalah kali pertama kami beri dan tawarkan produk istimewa seperti ini kerana kami tahu Andalusia merupakan antara agensi pelancongan terbesar di Malaysia yang menguruskan jemaah umrah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/4/2025

- Advertisement -