
TAPAH: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyangkal Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan atau ‘Tok Mat’ yang menafikan kewujudan ladang babi di Kampung Tanjung Keramat, di sini.
Tok Mat yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (PN) menyifatkan isu ladang babi di sini hanyalah fitnah dan mainan sentimen pihak PERIKATAN NASIONAL (PN) sempena PRK N.48 DUN Ayer Kuning.
Dakwaan dibawa pembangkang itu katanya, sengaja mahu menimbulkan kegusaran masyarakat setempat, namun Ahmad Fadhli telah membuktikan sebaliknya apabila turun sendiri ke lokasi ladang tersebut, semalam.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menerusi tinjauan tersebut menegaskan bahawa lokasi ladang babi itu bukan sahaja terletak tidak jauh daripada kediaman penduduk, tetapi hanya dua minit 57 saat daripada Masjid Kampung Keramat.
“Saya akan nak buktikan kepada Tok Mat bahawa penafian Tok Mat itu adalah satu penafian yang salah,” ujarnya menjelaskan tujuan tinjauannya untuk menunjukkan lokasi tersebut dan membuat video tular itu.
Tegas beliau, isu tersebut bukanlah soal perkauman, tetapi yang dipersoal ialah keberadaan lokasi ladang babi itu boleh wujud di kampung tersebut dan berhampiran dengan kediaman penduduk.
“Saya difahamkan melalui temu bual kami dengan penduduk kampung, kita boleh menghidu bau babi daripada kawasan masjid dan sebenarnya kalau kita berada di sini pada waktu-waktu yang tentu kita boleh hidu.
“Bau najis ataupun ladang babi ini dapat dihidu daripada kedudukan tempat kita berada dan sekarang (masjid),” ujarnya mempersoalkan penafian Tok Mat yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau dan Menteri Luar Negeri.
Setiausaha Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Nurhafizul Badrul Hisham dalam pada itu membidas Tok Mat yang menafikan kewujudan ladang babi tersebut dan mempertikaikannya kerana dipercayai merujuk perkara itu daripada DAP.
“Buat Tok Mat, jika tanya DAP memang DAP akan kata ladang babi itu tidak wujud. Kerana DAP lebih teruja memperjuangkan nasib babi berbanding nasib rakyat jelata.
“Agak mustahil sebenarnya Tok Mat tidak tahu ada ladang ternakan babi di Tanjung Keramat. Mungkin Tok Mat malu di kawasan Umno menjadi tok wakil (wakil rakyat) sejak merdeka, boleh wujud ladang ternakan babi besar di kampung Melayu.
“Apapun saya secara percuma, mewakili Pemuda PAS Perak menawarkan diri untuk membawa Tok Mat ke ladang ternakan babi di Kampung Tanjung Keramat yang majoriti penduduknya adalah 99 peratus orang Melayu-Islam.
“Kalau Tok Mat masih tak percaya lepas tengok pintu masuk ladang babi, kami akan ikhtiarkan untuk bawa babi dari dalam ladang kepada Tok Mat.
“Harap Tok Mat boleh ‘pm’ (mesej peribadi) saya segera. Babi di kandang sedang menunggu,” sindir beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan. – HARAKAHDAILY 19/4/2025











