Tiada maaf bagi kecacatan Jalur Gemilang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan insiden kesilapan pada bendera Jalur Gemilang akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan mencabar nilai-nilai asas kenegaraan.

Beliau berkata, tindakan akhbar terbabit bukan sahaja memaparkan versi bendera yang tidak lengkap, malah meletakkan Jalur Gemilang di belakang bendera China dalam saiz lebih kecil.

“Bendera Jalur Gemilang bukan sekadar lambang formal sebuah negara, tetapi ia adalah simbol kedaulatan, maruah, dan identiti negara kita yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lebih mendukacitakan apabila simbol bulan sabit yang melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan — satu perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan — telah dipadamkan.

Katanya, itu bukan kesilapan kecil atau teknikal semata-mata, tetapi satu tindakan yang memberi kesan besar kepada sensitiviti umat Islam serta semangat patriotisme seluruh rakyat Malaysia.

“Saya menyokong penuh kenyataan Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong bahawa permohonan maaf semata-mata tidak memadai. Sikap sambil lewa dalam menjaga simbol negara seperti ini tidak boleh diberi ruang.

“Apatah lagi dilakukan oleh sebuah entiti media besar yang mempunyai prosedur editorial ketat sebelum sesuatu bahan diterbitkan,” katanya bekas Ahli Dewan Negara itu.

Ustazah Nuridah berkata, pihaknya memandang serius kecuaian berulang kali itu, merangkumi kes bendera salah dengan bintang lima sebelum ini dan kesilapan ilustrasi dalam insiden terbaharu.

Katanya, itu bukan lagi kecuaian biasa, sebaliknya mencerminkan kegagalan dalam proses asimilasi nilai kebangsaan dan cinta negara dalam kalangan sesetengah pihak.

“Lebih parah, insiden-insiden ini berlaku dalam konteks rakyat Malaysia yang masih tidak fasih berbahasa kebangsaan atau tidak kenal bendera sendiri, walaupun kita telah lebih 60 tahun merdeka.

“Soal integrasi nasional bukan sekadar isu bahasa atau simbol, tetapi berkait rapat dengan jati diri, kesetiaan dan perpaduan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar siasatan terperinci dijalankan dan hukuman tegas dikenakan kepada pihak yang bertanggungjawab seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Ini penting bagi memberi mesej jelas bahawa kedaulatan negara, agama Islam sebagai agama rasmi, dan identiti nasional bukan perkara yang boleh dipermainkan.

“Kami juga menyeru Kementerian Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri agar memperketat pengawasan terhadap bahan terbitan media, serta mewajibkan latihan kefahaman kenegaraan kepada semua agensi media, tanpa mengira bahasa terbitan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

- Advertisement -
- Advertisement -