
CYTRO PH-BN tidak pernah jemu mengulas, meremeh dan menghujam mengenai negeri bertunjang agama ini, negeri tanpa pembangkang serta sentiasa meriah dengan kehadiran pelancong. Siang malam cytro berbayar separa dungu ini terus cuba mencalit najis pada wajah kerajaan Terengganu dan pimpinan negeri terutama untuk membunuh karektor Menteri Besar. Ironinya, Terengganu dalam tahun 2024 berjaya menarik pelaburan sebanyak RM3.18 billion lantas membuka peluang pekerjaan untuk anak muda dan peluang-peluang perniagaan bagi sektor-sektor hiliran.
Negeri Terengganu juga berjaya meneroka potensi besar industri solar. Industri tenaga solar di negeri Tok Ku Paloh ini juga menerima pelaburan sebanyak RM1 billion dengan melibatkan 14 buah syarikat besar yang melabur.
Negeri penyu bertelur ini juga menyaksikan pertumbuhan positif sektor pertanian dan keterjaminan makanan. Bukan sekadar memastikan bekalan beras untuk rakyat negara ini terjamin namun juga sumber protein dari laut.
Negeri jantung hati orang Melayu ini berjaya memelihara tanahnya daripada pencerobohan kerana iltizam politik pemimpin dan juga integriti kakitangan kerajaan negeri. Tanah rezab Melayu masih selamat sebagaimana juga negeri Kelantan yang mengawal ketat tanah rezab Melayu daripada berpindah milik dengan mudah kepada warga asing.
Saya menyokong titah ucapan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin di mana Baginda mengingatkan kerajaan negeri mengenai hakikat kebergantungan negeri terhadap minyak dan gas mempunyai limitasi, lantas wajar untuk menerokai ruang-ruang pemberdayaan ekonomi yang lain agar pendapatan negeri dan rakyat Terengganu terus mapan.
Kerajaan negeri bersikap gencar merangka pelan penjanaan pendapatan baru untuk masa hadapan seperti penerokaan galian silika, bauksit, NREE dan sebagainya.
Industri pelancongan juga adalah ruang besar untuk meningkatkan pendapatan negeri dan rakyat negeri ini kerana keunikan budaya, kelestarian seni, keindahan pantai, pulau, tasik, keramahan rakyat serta ‘wow’ faktor negeri berbudaya ini.
Dalam tahun 2024, Terengganu telah menerima sejumlah 7.8 juta orang pelancong. Angka ini sedang terus bertambah dengan keseriusan kerajaan Terengganu mengadakan pelbagai program memancing pesona untuk menarik pelancong luar dan domestik.
Kegencaran industri pelancongan negeri ini wajar belajar daripada kesilapan negara Arab Saudi membuka seluas mungkin negaranya untuk disingkap tirainya oleh warga luar. Negara penjaga dua tanah haram itu ingin mempelbagaikan sumber pendapatan selain sumber minyak dan gas. Namun keseriusan menarik pelancong dan menggebukan industri pelancongan Saudi kelihatan tidak terarah, menjolok mata dan tidak patuh syariah. Puluhan konsert konsert besar telah digalang termasuklah kumpulan Black Pink, Metallica dan Justin Bieber.
Konsert-konsert hedonisme ini merosakkan citra Arab Saudi sebagai penjaga dua tanah haram. Ramai remaja perempuan membuka aurat mereka atas nama keseronokan berhibur. Budaya hedonisme ini juga memicu kemungkaran yang lain termasuk zina, minum arak, bahkan ketidakpedulian kepada darah yang tumpah di Gaza.
Bahkan ulama yang berani menegur kerajaan kerana penganjuran konsert yang semakin bersemarak di negara kelahiran Rasulullah SAW telah dipenjarakan seperti mantan Imam Masjidil Haram, Sheikh Muhamad Salleh al Talib.
Kerajaan Terengganu melalui portfolio Pelancongan telah menganjurkan banyak program untuk menarik pelancong ke negeri ini namun tanpa pengawasan badan autoriti Syariah akan merosakkan citra negeri ini sebagai ‘Darul Iman’.
Kegelisahan para asatizah terhadap program menarik kemasukan pelancong ke Terengganu ada asasnya dan tidak perlu dikesampingkan begitu sahaja atau dilihat bermusuh dengan aspirasi kerajaan negeri.
Contohnya, di bulan Ramadhan baru-baru ini di mana penganjuran program Pelita Raya telah mendapat kritikan hebat rakyat Terengganu yang cintakan agama.
Ramadhan yang mulia dengan pelbagai jolokan, bulan pengampunan, bulan Al Quran, bulan jihad namun sedikit tercemar dengan penganjuran program yang tidak patuh syariah seperti program Pelita Raya. Terdapat aksi tarian remaja perempuan, juga nyanyian dilihat tidak menghormati kemuliaan Ramadhan.
Terengganu wajar mempunyai ketegasan dalam mengawal aktiviti-aktiviti kesenian dan kebudayaan, elemen syirik, khurafat, tidak patuh syariah dan pelantun suara perempuan wajib dikekang.
Kerajaan Terengganu dikritik hebat oleh parti pembangkang di luar sidang DUN mengenai menghalang persembahan buskers tampil pada 10 malam terakhir Ramadhan. Negeri Terengganu wajar menjadi contoh bagaimana menjana pendapatan melalui sektor pelancongan tidak semestinya berkembar siam dengan acara-acara bersalut kemaksiatan.
Bandaraya pesisir air negeri ini tiada zon ‘lampu merah’, tiada kupu-kupu malam yang menggoda lelaki mata jalang. Walaupun tidak semeriah industri pelancongan di negara Thailand namun Terengganu tetap menjadi pilihan utama pelancong untuk berbelanja.
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
ADUN Jerteh)- HARAKAHDAILY 17/4/2025















