Federalisme perlu dipertingkat antara negeri dan Pusat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mencadangkan agar sistem federalisme yang diamalkan di negara ini dipertingkatkan bagi mengimbangi perkembangan semasa dan memastikan kesejahteraan negara terus terjamin.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sudah tiba masanya untuk melakukan penambahbaikan dengan peralihan daripada ‘centralized federalism’ kepada ‘co-operative federalism’ sebagai langkah utama dalam reformasi sistem tersebut.

“Pendekatan ‘co-operative federalism’ yang saya lontarkan ini, bukanlah suatu konsep baharu, bahkan telah terbukti keberkesanannya di negara-negara yang mengamalkan sistem persekutuan secara lebih matang.

“Walaupun tidak sama kedudukannya dengan penubuhan Malaysia, tetapi sebagai contohnya, adalah seperti The Tasmanian Commonwealth-State Agreement Principles of Participation.

“Ia menggariskan beberapa prinsip kerjasama seperti memaksimumkan penyelarasan satu-satu keputusan dengan matlamat dan objektif Kerajaan Negeri, meminimumkan birokrasi dan kos pentadbiran.

“Juga meminimumkan sebarang sekatan yang boleh menghalang usaha Kerajaan Negeri untuk berpartisipasi dalam apa jua bentuk kerjasama yang ada.

“Melalui pendekatan ini juga, kerajaan negeri dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan keutamaan pembangunan negeri masing-masing, berdasarkan keperluan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambah beliau, ‘co-operative federalism’ juga mampu mengurangkan ketegangan politik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, terutamanya apabila pentadbiran dikuasai oleh parti yang berbeza.

“Objektif yang kita ingin capai ialah, memperkukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sebarang perubahan pimpinan politik dalam negara serta menambah keyakinan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran,” ujarnya.

Selain itu, Ahmad Samsuri turut mencadangkan kajian semula pengembalian cukai kepada negeri melalui ‘Tax Sharing Agreement’, yang akan membantu memperkukuhkan kewangan negeri dan meningkatkan kecekapan fiskal.

Sebagai langkah tambahan, beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Khas untuk memberi input dan cadangan reformasi sistem federalisme yang lebih realistik dan praktikal.

Supaya katanya, kepantasan sesebuah negeri dan negara untuk bergerak seiring, dalam kitaran global pada waktu ini dan masa hadapan.

Menurut Ahmad Samsuri, teguran dan pandangan yang lontarkan itu, adalah untuk memperkukuhkan sistem federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan.

Supaya katanya, negeri dan negara dapat bergerak seiring untuk mencapai kesejahteraan kehidupan dan keharmonian yang lebih berpanjangan. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

- Advertisement -