Tujuh wakil rakyat peguam nilai semula enakmen hiburan

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Seramai tujuh pengamal undang-undang yang juga wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan membuat penilaian Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri kini dalam usaha meminda peraturan tersebut yang telah digubal dalam DUN Negeri sejak 27 tahun lalu.

Beliau berkata, antara fokus utama dalam pindaan tersebut ialah meningkatkan penguatkuasaan dan cadangan kenaikan jumlah denda yang dikenakan kepada pihak bertanggungjawab.

“Kita sekarang ini sedang memuktamadkan penelitian pindaan enakmen ini untuk kita pastikan penguatkuasaan enakmen ini dengan lebih berkesan dan sesuai dengan keperluan semasa.

“Kita lihat ada beberapa kelompangan dalam pelaksanaan sebelum ini, jadi kita beri tumpuan kepada aspek penguatkuasaan supaya lebih cekap dan kemas dan dipatuhi oleh semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Seminar Kebudayaan Islam 2025 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Kamarudin Md Nor dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Dato’ Hassan Mohamood.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata lagi, langkah itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok dan drf pindaan diteliti sebelum dibentangkan.

Beliau berkata satu jawatankuasa penilai telah ditubuhkan bagi menyemak semula enakmen terbabit dianggotai sebahagian wakil rakyat dalam DUN Kelantan, pakar perundangan dan tokoh akademik.

Setakat ini, enakmen sedia ada memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan di bawah peruntukan berkaitan. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

- Advertisement -