Sistem saliran rosak, keselamatan penduduk terancam

Masalah sistem saliran yang rosak dan tersumbat di Kampung Paya Jaras Hilir menyebabkan air bertakung sehingga menjadi sarang pembiakan nyamuk dan haiwan perosak yang lain. (FOTO: FB Dato' Dr Halim Tamuri)
- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Masalah sistem saliran rosak dan tersumbat di Lot 184, Zon Teratai, Kampung Paya Jaras Hilir, di sini bukan sekadar isu perparitan, tetapi mencerminkan kelemahan kawalan laluan kenderaan berat yang kini menjejaskan keselamatan penduduk.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, kerosakan berlaku apabila sebuah lori treler tersesat memasuki kawasan perumahan yang sempit dan merempuh struktur longkang konkrit sehingga pecah.

“Longkang yang pecah tersebut telah disimen semula oleh penduduk tanpa dikeluarkan sisa konkrit yang runtuh ke dalam longkang kerana tidak mampu dibuang secara manual.

“Hal ini telah menyebabkan longkang yang bertutup tersebut tersumbat sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Halim Tamuri yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor turun padang bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling serta wakil penduduk untuk meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk itu berhubung isu longkang dan parit tersumbat sejak 4 bulan lalu.

“Semalam, Pengurus Pusat Khidmat itu, Mohd Reza Mohd Salleh bersama pasukannya turun membuat lawatan tapak di kawasan tersebut.

“Hasil tinjauan, longkang dan parit di kawasan tersebut telah tersumbat sepenuhnya dan air bertakung tidak dapat mengalir keluar.

“Longkang tersebut telah menjadi sarang pembiakan nyamuk dan haiwan perosak yang lain. Menurut pengadu, rumahnya akan dimasuki air melalui lubang di bilik air setiap kali hujan,” katanya.

Oleh demikian, pihak PDT Petaling telah mengambil maklum isu berkenaan, manakala Pusat Khidmat ADUN Paya Jaras juga telah mengemukakan aduan rasmi melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kepada pihak berkuasa berkaitan.

Justeru, beliau mengambil serius perkara ini dan akan membuat aduan segera kepada pihak berkuasa agar isu ini dapat ditangani segera demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

- Advertisement -