‘Scam’ harumanis: Pengguna diingat jangan terpedaya

- Advertisement -

KANGAR: Pengguna diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan (scam) pembelian harumanis secara dalam talian yang semakin berleluasa setiap kali tiba musim buah eksotik itu.

- Advertisement -

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohd Anzari Azizan berkata, pihaknya mengesan wujudnya kegiatan penipuan yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, ia dilakukan melalui platform dalam talian, yang menjual mangga tiruan dengan jenama ‘adik harumanis’ walaupun buah tersebut berasal dari negara jiran.

“Malah pihak FAMA sendiri pernah menjadi mangsa penipuan atas talian ketika menjalankan pembelian sebagai sebahagian daripada pemantauan. Buah tidak dihantar, sebaliknya hanya duit yang diambil,” katanya ketika di temui media di sini hari ini.

Berikutan itu, bermula awal tahun ini pihaknya telah mempergiatkan usaha advokasi dan pemantauan bersama media bagi memberi kesedaran kepada pengguna mengenai bentuk dan ciri sebenar buah harumanis tulen dari Perlis.

“Kita hasilkan poster khas yang memaparkan bentuk sebenar buah harumanis. Ini penting bagi memastikan pengguna tidak mudah tertipu dengan produk tiruan,” jelas beliau.

Jual tiga kilogram RM50 tak masuk akal

Mohd Anzari turut menasihati pengguna agar berwaspada dengan tawaran harga tidak munasabah seperti tiga kilogram harumanis dijual pada harga RM50, sedangkan harga pasaran bagi harumanis tulen yang berkualiti ialah antara RM27 hingga RM37 sekilogram.

“Kalau premium, boleh mencecah RM120. Kalau tiga kilogram dijual pada RM50, itu memang tidak logik,” katanya.

Menurut beliau, FAMA tiada kuasa kawalan harga memandangkan harumanis tidak tergolong dalam barangan harga kawalan, namun pihaknya mencadangkan julat harga yang munasabah kepada pengguna.

Setakat ini, FAMA telah menjalankan 14 operasi advokasi dan 61 pemeriksaan premis sejak permulaan musim harumanis tahun ini.

Dalam usaha membanteras penipuan, Mohd Anzari menyarankan orang ramai untuk membuat pembelian hanya melalui platform yang sah seperti AgroBazaar Online atau berurusan dengan pengeluar diyakini.

Ujarnya, antara pihak yang sering bekerjasama dengan FAMA dan diyakini ialah Pusat Kecemerlangan Harumanis (di bawah Jabatan Pertanian Negeri Perlis), Pusat Koreksional dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Arau.

Juga Koperasi YA, Pusat Pengumpulan Ladang Beseri, Perusahaan Abdullah Sekeluarga, Kohamas (pembelian melalui Maybank), Ladang Harumanis Cikgu Non dan MJ Legasi.

Galak pengalaman ‘Kebun ke Tangan’

Beliau turut menggalakkan pelancong yang datang ke Perlis agar berurusan terus di ladang-ladang untuk mendapatkan pengalaman membeli harumanis secara terus daripada pengusaha sebenar.

“Ramai yang sediakan pengalaman kebun-ke-tangan. Kita mahu pengguna tahu rupa sebenar harumanis. ‘Adik harumanis’ itu bukan daripada varieti harumanis pun,” katanya.

Sepanjang musim harumanis dari Mac hingga Jun, FAMA turut melakukan pemantauan di hampir 20 gerai sepanjang laluan utama dari Kuala Perlis ke Pauh (laluan ke Kedah).

“Empat atau lima kedai dikendalikan oleh individu sama. Ada antara mereka tidak berlesen. Kita peringatkan mereka mengikut Akta Timbang dan Sukat supaya lebih bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau menyeru agar semua pihak pengguna, peniaga dan agensi berganding bahu menyampaikan maklumat sebenar mengenai harumanis demi melindungi industri pertanian tempatan serta kepercayaan pengguna.

“Kita edarkan banting rujukan buah harumanis sebenar sebagai panduan dan didikan kepada pengguna dan peniaga. Harumanis Perlis adalah warisan negeri yang harus dijaga bersama.

“Banting kita berikan secara percuma dan dipasang sendiri oleh pegawai kita,” – HARAKAHDAILY 16/4/2025

- Advertisement -