Diberi pendedahan kaedah mesra alam melombong NR-REE

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri diberi pendedahan mengenai perlombongan In-Situ Leaching (ISL) bagi menghasilkan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) oleh MCRE Resources Sdn Bhd.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, kaedah itu lebih mesra alam, tidak membabitkan penebangan hutan skala besar.

“MRCE diberi lesen perintis projek ini membuat kajian terperinci NR-REE dan memulakan perlombongan secara rasmi pada Mac 2022 dengan secara kaedah ISL tanpa melibatkan pembersihan hutan.

“Kaedah ISL ini melibatkan penyuntikan larutan ammonia sulfat ke dalam tanah untuk melarutkan unsur nadir bumi, yang kemudiannya dipam semula ke permukaan bumi untuk diproses,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil dalam satu hantaran Facebook berkata, MCRE merupakan syarikat perlombongan pertama tempatan yang berjaya mempelopori aktiviti tersebut di negara ini.

Menurut beliau, satu lawatan sambil belajar diadakan ke kilang dan tapak perlombongan NR-REE di Kenering diusahakan syarikat tersebut dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri Perak.

“Sekiranya mineral ini dieksploitasi sebaiknya oleh negeri-negeri di Malaysia, ia bakal memberikan pulangan sebanyak RM810 billion kepada negara kerana permintaannya sedang meningkat.

“Unsur nadir bumi ini juga sedang menjadi rebutan negara-negara maju, semoga rezeki dan anugerah ini dapat dikongsi manfaatnya dan diurus sebaiknya demi kebaikan seluruh rakyat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan antara faktor menghalang dan melambatkan proses perlombongan NR-REE di Kelantan kerana sebahagian besar taburan mineral itu berada dalam Hutan Simpan Kekal (HSK).

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Akta Perhutanan Negara 1984 menghalang aktiviti terbabit, melainkan dinyah-wartakan dan digantikan HSK yang baru terlebih dahulu.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyedari kepentingan pembangunan industri tersebut yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan negeri, tetapi dalam masa sama tidak memudaratkan alam sekitar.

Kelantan antara negeri mempunyai deposit NR-REE sebanyak 2.5 juta tan berjumlah RM129 bilion selepas Terengganu dengan simpanan tertinggi 7 juta tan dengan nilai dianggarkan RM326 bilion. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

- Advertisement -