
MARAN: Tindakan mempertahankan pekebun durian haram dan mengetuai perhimpunan menghalang penguatkuasaan di Bukit Klau, Raub, adalah satu bentuk penderhakaan terhadap titah Sultan Pahang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, Dato’ Jasri Jamaludin menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui itu juga sebagai pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang.
Malah tegas beliau lagi, tindakan Chow tersebut jelas telah memperlekehkan keputusan Mahkamah Tinggi serta membelakangkan perintah yang diperkenan oleh Sultan Pahang.
“Kehadiran Chow dalam kumpulan ini jelas menunjukkan campur tangan langsung dalam urusan penguatkuasaan yang sah, satu perbuatan yang boleh ditafsir sebagai penderhakaan terhadap titah Tuanku dan penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang negeri.
“Tindakan ini melanggar semangat taat setia kepada institusi Raja yang menjadi teras kedaulatan negeri serta mencerminkan sikap biadab terhadap perintah yang diperkenan oleh Sultan Pahang sendiri,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Jasri turut merujuk laporan media mengenai insiden pada 10 April lalu, di mana lebih 50 individu bersama Chow bertindak menyekat laluan ke Bukit Klau sambil membawa kain rentang membantah tindakan pihak berkuasa memusnahkan kebun durian haram.
“Saya menyatakan rasa dukacita dan kekesalan terhadap gelagat segelintir ahli politik ekstremis yang sanggup memperalatkan isu undang-undang dan hak milik negeri demi kepentingan politik sempit.
“Pekebun haram yang menceroboh tanah kerajaan dan meraih keuntungan mencecah ratusan juta ringgit tidak wajar dilayan sebagai mangsa, apatah lagi diberi ganjaran dalam bentuk geran tanah,” katanya.
Beliau juga menyokong penuh titah Sultan Pahang yang menegaskan agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah dalam isu pekebun durian haram di Raub.
Dato’ Jasri turut memetik kembali titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah yang dengan jelas dan tegas berkenaan perkara tersebut.
“Beta mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian Musang King di Raub pada 24 April 2024 yang lalu dan beta berharap agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah tersebut,” titah baginda.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu Negeri Pahang berkata, sebarang cubaan mencabar titah itu harus dilihat sebagai penghinaan terhadap kedaulatan negeri dan institusi Raja yang menjadi lambang perpaduan serta keadilan di bumi Darul Makmur itu.
“Saya menyeru Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh Barisan Nasional agar tidak berdiam diri dalam menghadapi bentuk penderhakaan terbuka ini.
“Termasuk insiden pada 10 April 2025 apabila Chow mengetuai perhimpunan haram yang menyekat laluan penguat kuasa serta cuba menggagalkan operasi pemusnahan kebun haram.
“Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Ia juga berpotensi disiasat sebagai hasutan terhadap institusi diraja mengikut Seksyen 3(1)(a) dan (c) Akta Hasutan 1948, selain jelas mencabuli Prinsip Kedua Rukun Negara: Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Jangan biar penderhakaan ini menjadi api dalam sekam. Tokan penderhakaan yang berselindung di balik kain perjuangan rakyat tidak boleh dibiarkan bebas menabur racun.
“Jika tidak ditegah, racunnya akan menjalar perlahan, melumpuhkan sendi negeri dan mencemar ketaatan kepada Raja,” katanya.
Beliau juga menggesa seluruh rakyat Pahang, termasuk NGO, badan profesional dan masyarakat sivil, untuk bangkit mempertahankan kedaulatan undang-undang dan institusi diraja.
“Kita tidak boleh membenarkan pelanggar undang-undang dijulang sebagai wira, sedangkan titah Tuanku dan keputusan mahkamah dipermainkan tanpa rasa hormat.
“Daulat Tuanku. Undang-undang tetap ditegakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2025











