PAS Terengganu desak henti taktik kotor terhadap MB

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menggesa agar segala bentuk sekatan dan pemantauan ke atas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dihentikan segera.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan sedemikian merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang berbahaya dan boleh menghancurkan asas demokrasi negara.

“Kelmarin, Malaysia digemparkan dengan pendedahan berani oleh Ahmad Samsuri, bahawa beliau telah ditandai dalam sistem keselamatan negara sebagai individu berstatus TCO (Travel Control Order).

“Apa yang mengejutkan banyak pihak, status ini bukan sekadar satu label, tetapi turut melibatkan tindakan luar biasa di mana seorang pemimpin tertinggi negeri yang sah dan dipilih secara demokratik dikenakan kawalan seperti seorang penjenayah, tanpa sebarang pendakwaan atau bukti salah laku jenayah.

“Pendedahan ini menunjukkan kemungkinan besar berlakunya penyalahgunaan sistem keselamatan negara sebagai alat politik untuk menekan dan mengekang suara pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau turut mempersoalkan tindakan menahan dan memantau pergerakan serta komunikasi Menteri Besar itu, yang disifatkan sebagai bentuk tekanan sistemik dan gangguan politik bersifat melampau.

“Ahmad Samsuri turut mendedahkan bahawa beliau ditahan setiap kali melalui kawalan sempadan, termasuk ketika ke Sabah dan Sarawak, sejak suku ketiga tahun 2024.

“Lebih membimbangkan, pergerakan dan komunikasi beliau dipercayai dipantau, diintip, dan dipintas tanpa sebarang justifikasi undang-undang yang sah. Tindakan ini merupakan satu bentuk tekanan sistemik, gangguan berterusan dan pencabulan terhadap kebebasan peribadi.

“Situasi ini menggambarkan bahawa TCO yang dikenakan terhadap MB Terengganu bukan bersifat rutin, tetapi membawa ciri kawalan ke atas individu yang dianggap ‘berbahaya’ satu tindakan yang amat tidak munasabah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, sekiranya taktik seperti ini dibiarkan berterusan, ia bukan sahaja memburukkan landskap politik negara tetapi turut membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa terhadap rakyat biasa di masa depan.

“Saya yakin, sekatan dan pemantauan sedemikian tidak dikenakan terhadap mana-mana pemimpin kerajaan atau tokoh-tokoh lain, walaupun isu keselamatan sering dijadikan alasan oleh sesetengah pihak.

“Justeru, PAS Terengganu mendesak pihak yang bertanggungjawab agar menghentikan segera taktik kotor ini sebelum demokrasi Malaysia ranap dan hilang arah dalam jangka masa panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2025

- Advertisement -