
TAPAH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning perlu bertukar daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 DUN itu kali ini.
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Noor berkata, di era kini, umum menyedari PH khususnya BN-Umno ditolak rakyat kerana pelbagai isu yang gagal diselesaikan.
“Jadi apa lagi, jom pengundi N.48 DUN Ayer Kuning, kita buat perubahan kali ini, DUN ini perlu berubah ke tangan PN. Tolak calon BN-PH sebagai satu pengajaran kepada kerajaan campuran itu,” katanya penuh semangat.
Ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, pada perarakan sempena penamaan calon di pekarangan Pejabat Daerah Tapah, di sini hari ini.
Katanya lagi, pengundi Melayu khususnya perlu sedar, Ahli-Ahli Parlimen, termasuk juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH, terutama DAP, begitu negatif dan bersikap rasis terhadap isu-isu berkaitan Melayu-Islam.
“Contohnya Ahli Parlimen Kampar, ucapannya kerap kali dilihat sangat anti kepada Islam khususnya kepada parti Islam sendiri. Bila kita menyokong BN, sebenarnya kita menyokong DAP kerana parti itu berada bersama-sama pakatan tersebut.
“Oleh itu, jom kita tolak calon BN-PH pada 26 April ini dan undilah PN,” seru beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 12/4/2025











