Rujuk penjelasan berkaitan isu TCO, tak tarik semula

- Advertisement -

TAPAH: Semua pihak perlu merujuk kepada penjelasan yang telah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terbitkan sebelum ini berhubung status beliau di bawah Perintah Kawalan Perjalanan (TCO).

- Advertisement -

Dr Samsuri berkata, segala maklumat penting telah dinyatakan secara terperinci dalam artikel yang dimuat naik pada 10 April lalu.

“Hari tu maklumat yang jelas ada dalam tulisan saya. Kita tengoklah apa yang berlaku dalam masa beberapa hari ini. Boleh rujuk kembali apa yang saya tulis dalam artikel yang agak panjang itu.

“Buat masa ini, kita pegang itu dululah,” katanya ketika ditemui Harakahdaily pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di sini hari ini.

Selain itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS, menafikan sekeras-kerasnya hantaran palsu yang tular di media sosial ketika ini, kononnya beliau mengeluarkan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razak berkata, perkara itu merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan mencemarkan imej dan kredibiliti Ahmad Samsuri sebagai pemimpin negeri.

“Beliau (Dr Samsuri) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau posting seperti yang telah disiarkan. Kapsyen yang digunakan oleh laman ini ternyata merupakan satu fitnah yang jahat dan fitnah sebegini boleh menjejaskan imej beliau.

“Sehubungan itu, kami meminta agar siaran tersebut ditarik balik segera,” kata Mohd Nasir yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu itu.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri memberitahu bahawa dirinya dilabel sebagai individu di bawah kawalan TCO sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau secara ketat oleh pihak tertentu.

Katanya, beliau juga perlu melalui prosedur kawalan keselamatan ketat, termasuk semasa berada di sempadan Sabah dan Sarawak serta memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke destinasi tertentu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain antara menafikan dengan berkata tiada keperluan untuk meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah. – HARAKAHDAILY 12/4/2025

- Advertisement -