PAS kesal MB Terengganu dilabel TCO – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim (tengah) bersama Saizol (bersongkok) dan Abd Rahman (berbaju hijau) memotong kek Aidilfitri
- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan pihak berkuasa melabelkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai individu di bawah status ‘Perintah Kawalan Perjalanan’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan negara disifatkan amat dikesali.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan maruah seorang pemimpin tertinggi negeri.

“Saya pun rasa pelik. Memang di peringkat pimpinan, ada polis pengiring, tetapi ditandakan sebagai TCO dan pihak berkaitan terpaksa membuat pengesahan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kubang Kerian, DUN Salor dan DUN Pasir Tumboh di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), malam tadi.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku ketika Samsuri dalam perjalanan ke Sabah baru-baru ini yang menurut Tuan Ibrahim, pemimpin itu sepatutnya bebas keluar masuk seperti biasa memandangkan beliau bukan individu bermasalah.

“Ini bukan soal keselamatan kawal diri. Tidak betul tu, bukan keselamatan kawal diri. Sepatutnya sebagai Menteri Besar, beliau boleh masuk atau keluar sebagaimana biasa. Beliau bukan penjenayah.

“Orang lain masuk tiada masalah, tiba-tiba beliau (Ahmad Samsuri) dikenakan TCO. Isunya sekarang kenapa tiba-tiba beliau disekat?” persoal beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail dan ADUN Pasir Tumboh, Abd Rahman Yunos serta pimpinan setempat.

Tuan Ibrahim turut mendedahkan bahawa seorang lagi pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut dikenakan tindakan sama.

“Individu itu merupakan pimpinan tertinggi Bersatu, tapi biarlah dulu (tak perlu dihebahkan),” katanya sambil tersenyum. – HARAKAHDAILY 12/4/2025

- Advertisement -