Intervensi PN fokus penambahbaikan, bukan rombakan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) tidak berhasrat membuat rombakan dalam struktur pimpinan gabungan itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalaman.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut bertujuan memperkasakan Majlis Presiden dan memperkukuh pasukan media serta Jabatan Pilihan Raya PN melalui penubuhan satu jawatankuasa khas.

“Jawatankuasa ini belum lagi mengadakan mesyuarat kerana baru ditubuhkan, tetapi perkara utama ialah melihat keseluruhan Perlembagaan parti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kubang Kerian, DUN Salor dan DUN Pasir Tumboh di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), DUN Salor, malam tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail; ADUN Pasir Tumboh, Abd Rahman Yunus serta pimpinan parti peringkat Parlimen Kubang Kerian, DUN Salor dan DUN Pasir Tumboh.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, jawatankuasa tersebut dianggotai lima pimpinan tertinggi daripada setiap parti dalam PN iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihan Raya.

“Penambahbaikan itu juga tidak melibatkan sebarang masalah dengan parti gabungan, tetapi perlu selepas melihat kelemahan beberapa sesi pilihan raya sebelum ini,” tambahnya.

Menurut beliau, segala keputusan akan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi PN kerana setiap tindakan perlu mengambil kira pandangan semua parti komponen.

“Lagipun kita akan berdepan dengan pilihan raya di Sabah, kemudian Melaka. Jadi penambahbaikan ini amat perlu serta diperkukuhkan semula termasuk lantikan di peringkat negeri sebagai persiapan PRN dan PRU akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/4/2025

- Advertisement -