Himpunan Penyatuan Ummah di Kuantan, Mei ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam akan mengadakan satu Perhimpunan Penyatuan Ummah khusus melibatkan orang Melayu-Islam di negeri Pahang pada bulan Mei depan.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa memaklumkan, tarikh dan tempat khusus program berkenaan akan diumumkan kemudian dengan penganjurannya akan diadakan di Bandar Kuantan.

“Perhimpunan ini adalah berobjektifkan untuk menyatupadukan seluruh rakyat di negeri Pahang dan juga seluruh rakyat di dalam negara ini berkait dengan beberapa isu yang mutakhir ini.

“Kami telah bersetuju di peringkat NGO-NGO di negeri Pahang yang kita telah berbincang lebih 20 NGO di peringkat negeri Pahang dan juga di peringkat kebangsaan ada lebih kurang enam NGO besar telah bersetuju.

“Kita mengambil ketetapan bahawa kita akan mengadakan satu perhimpunan penyatuan ummah dan juga khususnya orang Melayu, orang Islam di negeri Pahang pada bulan Mei.

“Khusus bagi negeri Pahang kita ada tiga perkara objektif khusus iaitu kita menjunjung titah Seri Paduka Baginda Sultan Pahang iaitu titah supaya mempertahankan agama Islam sebagaimana titah baginda di Masjid Pulau Tawar.

“Juga yang kedua adalah menyokong sepenuhnya titah baginda iaitu berkaitan dengan mengambil alih semula tanah-tanah haram yang diteroka oleh pekebun-pekebun haram Musang King di Raub,” ujarnya.

Terdahulu, penguatkuasaan ke atas tanah tersebut telah dilaksanakan oleh agensi-agensi di negeri Pahang pada 8 April yang lepas dan pihak NGO-NGO tersebut menyatakan sangat menyokong tindakan itu.

Kata Mohd Zai, perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan tanah tanah khususnya orang Melayu di Raub dan di negeri Pahang serta bertegas supaya bukan saja isu seumpama di seluruh negeri itu ditangani.

“Jika berlaku pencerobohan oleh orang asing yang tidak mendapat kelulusan dan juga kebenaran daripada pihak berkuasa negeri, maka tindakan tegas seharusnya diambil dan dilakukan segera.

“Supaya perkara ini tidak menjadi satu ‘precedent case’ kepada mana-mana perkara dan kita amat kesal kepada Yang Berhormat MP Raub, beliau telah memberikan sokongan yang penuh kepada pekebun-pekebun haram ini.

“(Sedangkan ini) melanggar undang-undang sedia ada di negeri Pahang. Jadi kita di peringkat NGO merasakan ini suatu tindakan yang menyokong pelanggaran undang-undang di peringkat kerajaan negeri,” ujarnya.

Demikian itu tegasnya, perhimpunan akan adakan itu akan menegaskan beberapa perkara penting ini terkait dengan titah Sultan Pahang sendiri dan juga berkait dengan beberapa isu yang penting yang berlaku di negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 12/4/2025

- Advertisement -