Emoji gelak sebagai sinikal kerajaan suka buat lawak

- Advertisement -

TAPAH: Gelagat sekumpulan anak-anak muda membawa sepanduk bertemakan emoji gelak ketawa, menarik perhatian ramai pada perarakan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

- Advertisement -

Sambil melaungkan kata-kata semangat seperti, ‘hidup-hidup, hidup PN’ dan kecaman terhadap Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), anak-anak muda ini juga turut menjadikan ketawa ‘haa, haa, haa’ sebagai salah satu laungan semangat mereka.

Salah seorang daripada mereka, Munzir Mohd Nasir, 23, ketika ditemui Harakahdaily berkata, emoji itu sebagai sinikal kepada Kerajaan PH-BN hari ini yang sering ‘berjenaka’ dan ‘membuat lawak’.

“Kerajaan PH-BN sekarang ni suka sangat ‘berjenaka’ dan selalu buat lawak. Contoh ‘No Anwar, No DAP’ tapi selepas itu mereka bergabung. Kata nak perjuang isu-isu rakyat tetapi yang dilihat subsidi ditarik, harga barang keperluan naik harga,” bidas beliau.

Emoji ketawa itu juga ujarnya, adalah simbolik hendak mereka sampaikan kepada para pengundi bahawa kerajaan yang mentadbir negara hari ini tidak serius tangani masalah rakyat.

Sebaliknya kata Munzir, lebih gemar mengeluarkan kenyataan yang ‘berpatah balik’ atau ‘U-turn’ seolah-olah isu-isu terjadi dalam negara ini boleh dibuat lawak.

“Sikap seperti itu macam melawak. Menyusahkan rakyat, tapi kata nak menyenangkan rakyat,” tempelaknya lagi.

Justeru itu, selaku anak muda, beliau menyeru agar para pengundi
N.48 DUN Ayer Kuning, terutama golongan muda agar menggunakan kuasa yang ada untuk membuat perubahan dan mengundi calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRK ini. – HARAKAHDAILY 12/4/2025

- Advertisement -